ABIM kecam hukuman mati ke atas pemimpin tertinggi Jamaat-e-Islami

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam keputusan Mahkamah Agung Bangladesh mengekalkan hukuman mati terhadap pemimpin tertinggi Jamaat-e-Islami atas tuduhan jenayah perang.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, hukuman itu merupakan kesinambungan siri penindasan kejam oleh pihak berkuasa terhadap gerakan Islam itu sejak Perdana Menteri, Sheikh Hasina menyandang kepimpinan negara tersebut mulai 2009.

Menurutnya, ABIM mengulangi pendirian Tribunal Jenayah Antarabangsa bahawa tribunal kontroversi ditubuhkan kerajaan Bangladesh pada 2010 kononnya menghukum mereka yang terlibat dalam jenayah perang pada 1971 sebagai bertentangan dengan semangat keadilan, kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang.

“Malah, tribunal yang menjatuhkan hukuman mati kepada orang ramai termasuk lima pemimpin Jamaat mengenai tuduhan jenayah perang juga telah dikritik oleh masyarakat antarabangsa kerana perbicaraan dilakukan tanpa kredibiliti yang jelas.

“Human Rights Watch pada 2016 juga menggesa kerajaan Bangladesh mengenakan moratorium segera terhadap hukuman mati di bawah tribunal kontroversi.

“Oleh yang demikian, ABIM menggesa kerajaan Bangladesh menghentikan semua penindasan politik, untuk memulihkan hak-hak asasi manusia semua rakyat dan membebaskan semua pemimpin Jamaat-Shibir yang ditahan serta-merta dan membatalkan prosiding tribunal yang berat sebelah dan tidak berperikemanusiaan itu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, ABIM dan semua masyarakat antarabangsa telah memerhatikan situasi hak politik dan hak asasi manusia di Bangladesh, menilai berlaku tekanan yang drastik dan sistematik terhadap hak-hak sivil dan demokratik.

Ini kerana katanya, penindasan dan penganiayaan yang berterusan hanya akan meminggirkan negara tersebut daripada masyarakat antarabangsa.

Artikel Berkaitan: