KPP kukuh pertahanan negara

Mohamad menyampaikan ucaptama Dialog Perwira Siri Empat untuk Masyarakat Sivil dan Veteran yang bertemakan KPP: Mempertahankan Negara baru-baru ini. - Foto ROSLI TALIB
Mohamad menyampaikan ucaptama Dialog Perwira Siri Empat untuk Masyarakat Sivil dan Veteran yang bertemakan KPP: Mempertahankan Negara baru-baru ini. - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Asas utama kerajaan memperkenalkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) adalah untuk memastikan pembangunan pertahanan negara menjadi sistematik dan menyeluruh dengan berlandaskan objektif yang ditetapkan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, penghasilan kertas putih itu turut melalui pelbagai proses perbincangan, bengkel dan seminar yang diadakan dengan pelbagai latar belakang masyarakat serta dari semasa ke semasa bagi memastikan penjelasan serta penerangan sampai kepada semua pihak.

Menurutnya, penghasilan kertas putih seumpama itu kali pertama dilaksanakan di negara ini, di mana empat siri dialog diadakan bagi mencari formula terbaik.

“Dunia telah banyak berubah dan setiap hari yang mendatang membawa bersamanya pelbagai perbezaan. Kaedah dan formula pertahanan lama sudah semakin lapuk dan tidak berkesan.

“Suka atau tidak, kita memerlukan satu naratif baharu, naratif yang sesuai dengan perubahan pantas landskap pertahanan dan keselamatan global.

“Naratif yang selari dengan keperluan masa depan negara, naratif yang menganjurkan pembaharuan dalam mempertahankan kedaulatan negara Malaysia,” katanya ketika menyampaikan Ucaptama Dialog Perwira Siri Empat untuk Masyarakat Sivil dan Veteran ATM bertemakan, KPP: Mempertahankan Negara.

Program itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong; Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), Noor Hisham Rosle dan beberapa tetamu kenamaan lain.

Artikel Berkaitan:

Mohamad (duduk, tengah), Chin Tong (duduk, lima dari kiri) dan Abdul Hamid (duduk, empat dari kiri) menghadiri Dialog Perwira Siri Empat untuk Masyarakat Sivil dan Veteran yang bertemakan KPP: Mempertahankan Negara di ibu negara baru-baru ini. - Foto ROSLI TALIB
Mohamad (duduk, tengah), Chin Tong (duduk, lima dari kiri) dan Abdul Hamid (duduk, empat dari kiri) menghadiri Dialog Perwira Siri Empat untuk Masyarakat Sivil dan Veteran yang bertemakan KPP: Mempertahankan Negara di ibu negara baru-baru ini. - Foto ROSLI TALIB

Mohamad berkata, ciri-ciri sebuah negara yang merdeka adalah negara itu mampu menjamin keamanan, keselamatan dan kesejahteraan kepada rakyatnya serta memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman luar.

Katanya, selain dilengkapkan dengan peralatan ketenteraan yang mencukupi, ia perlu disokong dengan pendekatan serta polisi yang lengkap.

“Kebanyakan negara di dunia telah lama mempunyai KPP sendiri serta menetapkan matlamat pertahanan mereka di dalamnya seperti Korea Selatan dan Australia, malah bagi kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), KPP merupakan asas kepada pembentukan dasar pertahanan mereka.

“Jika dibuat perbandingan, negara-negara jiran kita di ASEAN juga telah mempunyai KPP masing-masing seperti Brunei, Kemboja, Filipina dan juga Singapura.

“Tetapi, paling mencuri tumpuan adalah KPP Singapura yang dibentuk pada 2004 dan sentiasa diperbaharui, di mana Singapura menggunakannya sebagai asas dasar pertahanan mereka termasuk pengagihan peruntukan pertahanan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, satu lagi contoh ialah Australia dan walaupun negara itu sering melalui percaturan politik yang menyaksikan pertukaran tampuk kepimpinan kerajaan silih berganti, namun hala tuju pertahanannya tidak akan berubah hanya kerana perubahan kerajaan.

“Kita beranggapan bila dunia semakin maju, ia akan menjadi semakin aman tetapi kita silap, lihat sahaja di Timur Tengah, Afrika Utara, Semenanjung Arab dan lain-lain tempat lagi, konflik tidak pernah tamat dan berakhir.

“Di sini pentingnya elemen diplomasi pertahanan. Diplomasi pertahanan amat bermanfaat sekiranya digunakan dengan bijak dan berkesan. Walaupun Malaysia merupakan negara yang kerdil, namun banyak memainkan peranan yang penting di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menyentuh mengenai draf awal KPP yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu, Mohamad berkata, ia juga akan merealisasikan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) negara yang akan melibatkan semua pihak.

Katanya, komitmen baharu kerajaan itu bukan sahaja tertumpu kepada angkatan tentera tetapi juga merangkumi semua lapisan rakyat pelbagai latar belakang termasuk golongan veteran tentera.

Menurutnya, seiring dengan perubahan zaman, kaedah dan formula pertahanan lama sudah semakin lapuk dan tidak berkesan.

“Jadi kita (Kementerian Pertahanan) melalui kertas putih ini kita hendak meminta penglibatan semua rakyat dalam pertahanan negara.

“Seperti kita memerangi komunis, maka rakyat sama turut terlibat menolak ideologi dan tidak menyokong kumpulan mereka yang ingin ambil alih pemerintahan melalui kekerasan.

“Jadi penglibatan rakyat itulah yang ditekankan dalam KPP di samping persediaan ke atas tentera, persenjataan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, pelan KPP turut menjurus ke arah untuk melahirkan Smart Army iaitu tentera dalam bentuk moden yang boleh menguasai pelbagai bidang.

“Smart Army ini adalah seorang tentera yang mampu untuk mengendalikan alat siber termasuk komputer dan sebagainya,” katanya.

Apakah KPP:

Satu dokumen pernyataan niat, kemampuan juga menggariskan arah tuju pertahanan dan keselamatan negara

Objektif pembangunan KPP:

- Mengkaji semula dasar pertahanan negara bagi mengenal pasti kelemahan dan jurang

- Menganalisa persekitaran strategik serantau dan global, termasuk kepentingan Malaysia dan cabaran isu keselamatan

- Menggubal preskripsi dasar untuk KPP dan membangunkan pelan tindakan yang diperlukan

- Meneliti kedudukan sektor pertahanan dalam hierarki whole of government dan panduan strategi keselamatan kebangsaan

- Mengkaji prestasi sektor pertahanan dan memahami isu serta keberkesanannya

KPP dibangunkan berdasarkan prinsip:

- Telus

- Inklusif

- Berasaskan bukti

Pembangunan KPP melibatkan:

- Jawatankuasa dasar

- Pemegang taruh pertahanan

- Pemegang taruh keselamatan

- Pemegang taruh nasional

- Jawatankuasa pilihan parlimen dan penasihat-penasihat pertahanan

- Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN)