Tiada arahan tangguh operasi feri ke Langkawi

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR – Perkhidmatan feri ke Langkawi dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis masih beroperasi seperti biasa walaupun pulau peranginan itu dijangka menerima tempias ribut tropika Pabuk, esok.

Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, sehingga kini tiada arahan penangguhan perjalanan dikeluarkan oleh Jabatan Laut Wilayah Utara dan semua feri beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan.

“Sehingga jam 1 tengah hari ini, semua 40 feri dari syarikat konsortium pengendali perkhidmatan feri Ferry Line Ventures Sdn Bhd masih berjalan, namun kami sentiasa merujuk kepada jabatan berkenaan dan sekiranya diarahkan demikian kami akur demi keselamatan penumpang,” katanya.

Katanya, syarikat konsortium feri tersebut menerusi tujuh syarikat di bawahnya mengendalikan masing-masing 10 perjalanan feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Pulau Langkawi pada hari biasa dan jumlah itu meningkat kepada 16 dan 21 perjalanan pada musim cuti sekolah.

Baharin turut menasihatkan penumpang yang menggunakan perkhidmatan Ferry Line Ventures agar mendapatkan maklumat semasa mengenai jadual perjalanan feri dengan merujuk laman sesawang syarikat itu di http://www.langkawiferryline.com.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menyatakan bahawa ribut tropika Pabuk sedang bergerak ke arah barat laut di Teluk Siam dengan merentasi Segenting Kra ke Laut Andaman dan keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

Pengarah APM Kedah, Left Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob hari ini dilaporkan berkata, berdasarkan ramalan MetMalaysia, Pulau Langkawi dijangka menerima tempias ribut tropika itu bermula jam 2 petang, esok.

APM Langkawi juga hari ini telah mengeluarkan arahan agar semua aktiviti sukan air di kawasan pantai Pulau Langkawi dihentikan berkuat kuasa serta merta berikutan pulau peranginan tersebut dijangka menerima tempias ribut tropika itu.

Artikel Berkaitan:

Kesan ribut itu menyebabkan laut bergelora serta pokok tumbang yang boleh mengancam keselamatan orang ramai. - Bernama