X

Kindly register in order to view this article
!

Ubah sekolah vernakular kepada satu aliran: Ahli akademik

Dr Teo Kok Seong
A
A

SHAH ALAM - Penggabungan sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama adalah cara terbaik untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Felo utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong berkata, ini kerana sistem sekolah vernakular yang diamalkan sejak dahulu lagi menghalang pembentukan identiti nasional yang perlu didokong oleh anak bangsa.

“Tidak ada mana-mana negara di seluruh dunia termasuk negara jiran kita yang paling hampir, Singapura pun tetap mengangkat sistem pendidikan satu aliran walaupun mereka juga berbilang bangsa.

“Banyak kejayaan yang kita boleh perolehi dari sekolah aliran ini terutamanya dari perpaduan serta pembentukan identiti nasional kerana murid-murid dalam satu acuan sama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan Pulau Pinang untuk meneruskan sekolah vernakular di negeri itu selepas mendapati banyak faedah daripada sekolah aliran tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang tetap teruskan sekolah vernakular

Mengulas mengenai perkara itu, Kok Seong berkata, sistem pendidikan sekarang dilihat mewujudkan pengasingan etnik di negara ini.

“Saya jangkakan sistem sekolah satu aliran yang akan menggabungkan program akademik, vernakular dan pengajian agama. Namun mungkin ramai yang akan menentang cadangan itu.

“Mereka menentang kerana kurang kepercayaan antara kaum kerana berpendapat jika baik untuk kaum Melayu, mungkin buruk untuk kaum Cina dan India, begitu juga sebaliknya.

“Sikap ini timbul kerana kita tidak bercampur dengan satu sama lain sejak di bangku sekolah. Orang Melayu ke sekolah kebangsaan atau agama manakala Cina dan India ke sekolah jenis kebangsaan. Bila mereka masuk tingkatan satu di sekolah kebangsaan, mereka tidak dapat bercampur, ia sudah terlambat dan mereka kekal terasing,” katanya.

Katanya, cadangan untuk melaksanakan sistem satu aliran sepatutnya disokong oleh seluruh masyarakat Malaysia.

“Mereka yang tidak bersetuju dengan sistem sekolah satu aliran sebagai antiperpaduan. Sudah tiba masanya sistem pendidikan kita perlu diubah untuk memperkukuhkan perpaduan kaum,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar berpendapat masalah perpaduan kaum di negara ini berpunca daripada sistem persekolahan yang tidak selaras, dengan wujudnya sekolah pelbagai aliran.

“Di setiap sekolah vernakular, contohnya Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil, mereka lebih menggunakan bahasa ibunda masing-masing menyebabkan mereka kurang menguasai bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Isu ini sudah lama dibahaskan kerana jika kita lihat isu berkaitan sekolah vernakular, sebenarnya ia tidak dapat menyatukan kaum untuk membentuk perpaduan.

“Jadi sekolah satu aliran adalah cara terbaik untuk mendidik serta memupuk integrasi nasional dalam kalangan generasi masa depan yang bakal mewarisi negara ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata, sekolah vernakular dapat menerapkan nilai toleransi dalam kalangan pelajar selain meningkatkan perpaduan.

Katanya, kerajaan negeri juga serius meneruskan peruntukan kepada sekolah berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus