Muzium Bugis tarikan di Parlimen Tanjung Piai

Abdullah menunjukkan hasil tulisan lama Bugis yang disimpan di muzium tersebut. - Foto Bernama
Abdullah menunjukkan hasil tulisan lama Bugis yang disimpan di muzium tersebut. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Jika ke daerah Pontian, pengunjung yang mahu ke Taman Negara Tanjung Piai berkemungkinan besar akan ternampak papan tanda Muzium Bugis, muzium khas yang akan menceritakan keistimewaan kaum itu.

Muzium Bugis yang ditempatkan di Taman Rekreasi, Sungai Rambah, kira-kira 7 kilometer dari sini, menjadi tempat rujukan untuk mengetahui sejarah dan maklumat berkaitan masyarakat Bugis terutama di Pontian, yang menempatkan koleksi barangan warisan kesenian serta kebudayaan kaum itu.

Pemilik muzium itu, Abdullah Ahmad, 75, berkata, hasratnya mengasaskan muzium itu adalah bagi memelihara adat resam serta sejarah masyarakat Bugis supaya dapat dipelajari dan terus diingati masyarakat moden.

Menurutnya, sebanyak 2,616 artifak bersejarah dan daripada jumlah itu, lebih 300 koleksi merupakan barangan tulen yang 'berusia' ratusan tahun berkaitan perihal masyarakat Bugis.

Antara koleksi menarik yang dipamerkan di muzium itu adalah pelbagai keris dan senjata buatan pada 1617 hingga 1836 yang digunakan oleh pahlawan serta masyarakat Bugis untuk mempertahankan diri pada zaman penjajah seperti langsuyar, madura, andus, ganja rawan berkalok, terbang sari serta apit liang.

Wang kertas lama juga dipamerkan di Muzium Bugis ini. Di sini,mempunyai sebanyak 2,616 artifak bersejarah dan daripada jumlah itu, lebih 300 koleksi merupakan barangan tulen yang 'berusia' ratusan tahun berkaitan perihal masyarakat Bugis. - Foto Bernama
Wang kertas lama juga dipamerkan di Muzium Bugis ini. Di sini,mempunyai sebanyak 2,616 artifak bersejarah dan daripada jumlah itu, lebih 300 koleksi merupakan barangan tulen yang 'berusia' ratusan tahun berkaitan perihal masyarakat Bugis. - Foto Bernama

"Saya buka muzium ini bukan untuk kepentingan diri saya tetapi untuk dijadikan 'harta' kepada generasi akan datang.

"Konsep saya adalah mudah. kalau kita tak boleh 'makan', kita dapat 'cium' pun cukuplah. Maksudnya, walaupun kita tidak dapat mengalami kehidupan etnik itu tetapi dapat mempelajarinya pun sudah mencukupi," kata Abdullah yang mendapat ilham untuk mengasaskan muzium itu sejak berusia 20-an.

Artikel Berkaitan:

Muzium itu turut mempamerkan bahan penulisan, alatan muzik seperti gendang dan gong, peralatan dapur yang diperbuat daripada tembaga, pelbagai mata wang ketika zaman negara dijajah serta perahu jelur atau penak iaitu pengangkutan laut yang digunakan etnik Bugis suatu ketika dahulu.

Selain itu, Abdullah berkata, barangan sejarah tertua yang disimpannya ialah senaskhah al-Quran hasil tulisan tangan oleh Raja Husein dari Pontianak yang ditulis pada kulit kambing sekitar 1311.

Abdullah berkata, dianggarkan antara 500 hingga 600 pengunjung dari dalam dan luar negara hadir di muzium tersebut setiap hari.

Muzium Bugis itu diwujudkan pada 1982 dan pernah dinamakan sebagai Yayasan Warisan Negeri Johor tetapi namanya ditukar apabila ia dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk (kini Tan Sri) Sabbaruddin Chik pada 1994.

Abdullah (tengah) menunjukkan batu terapung kepada pengunjung muzium yang merupakan antara 300 koleksi barangan tulen berusia ratusan tahun. - Foto Bernama
Abdullah (tengah) menunjukkan batu terapung kepada pengunjung muzium yang merupakan antara 300 koleksi barangan tulen berusia ratusan tahun. - Foto Bernama

Kerajaan negeri Johor mengisytiharkan muzium itu sebagai satu daripada destinasi pelancongan utama yang harus dilawati.

Muzium itu dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari dan tiada bayaran masuk dikenakan.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Melaka, Rusdi Mohd Ali, 26, yang ditemui Bernama berkata, muzium tersebut merupakan satu khazanah yang sangat bernilai dan perlu dihargai oleh masyarakat terutamanya generasi muda agar tidak lapuk ditelan zaman.

"Muzium sebegini adalah platform yang sangat baik kepada kita semua untuk mempelajari dan mengenali salasilah masyarakat Bugis secara lebih mendalam," katanya.

Bagi Maryana Osman, 35, yang berasal dari Shah Alam, Selangor, orang ramai seharusnya mengambil peluang melawat muzium tersebut untuk melihat sendiri dengan lebih dekat keaslian barangan warisan etnik Bugis.

"Saya rasa sangat seronok dapat berkunjung ke sini bersama suami dan anak-anak kerana dapat belajar banyak perkara mengenai budaya masyarakat Bugis," katanya. - Bernama