MEF mahu kerajaan kaji semula inisiatif #MalaysiaKerja

Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan mengkaji semula inisiatif #MalaysiaKerja yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 pada Oktober lalu.

Berdasarkan belanjawan tersebut, kerajaan akan melancarkan inisiatif itu bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Presiden MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kerajaan perlu mengkaji semula pemberian insentif sebanyak RM500 yang akan dikreditkan ke akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi inisiatif tersebut.

"RM500 yang diberikan oleh kerajaan akan dikreditkan ke KWSP bukan inisiatif yang menarik kerana mereka mahu menggunakan wang itu pada masa kini bukan ketika mencecah umur mereka sudah mencapai 50 tahun nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 640,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan di seluruh negara meliputi sektor 3D iaitu sukar, kotor dan berbahaya, malah merangkumi pengurusan, profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu.

Shamsuddin berkata, struktur pendidikan yang tidak selaras dengan peluang pekerjaan menyebabkan rakyat tempatan enggan mengisi kekosongan kerja terutama dalam kategori bukan siswazah.

"Golongan belia mungkin mengambil kursus yang tidak lagi diperlukan pasaran kerja sehingga menyebabkan ribuan kekosongan jawatan yang ada diisi oleh pekerja asing.

"Saya menyeru kepada golongan siswazah supaya mengambil kursus kemahiran dan tidak hanya bergantung pada kelulusan akademik yang sedia ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam media melaporkan 24,600 pekerja swasta diberhentikan kerja sehingga 30 September lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 21,625 orang terlibat dengan pemberhentian biasa, manakala 2,975 pekerja pula terbabit dengan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

Pekerja yang terjejas dalam sektor pembuatan seramai 7,944 orang, sektor aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan (7,309), perdagangan, borong dan runcit (2,123)​​​​​​, aktiviti kewangan dan insurans (1,748).

Selain itu turut terjejas ialah sektor penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan serta minuman (1,049), sektor maklumat dan komunikasi (679).

Shamsudin menasihati rakyat supaya menceburi apa jua bidang untuk mendapatkan pengalaman agar melayakkan mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan.