Penghujung benua Asia kini terancam pencemaran sampah?

Pelabuhan Jeti Tanjung Piai. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Pelabuhan Jeti Tanjung Piai. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

JIKA di benua Asia mempunyai Banjaran Himalaya terpanjang di dunia; Gunung Everest tertinggi di dunia; Tasik Bailkal terdalam di dunia; Laut Mati yang mempunyai air paling masin di dunia; Laut Kaspia iaitu tasik air masin terbesar di dunia dan Selat Melaka yang merupakan selat terpanjang.

Maka, rakyat negara Malaysia perlu berbangga dengan pengiktirafan Tanjung Piai sebagai kawasan penghujung benua Asia.

Pengiktirafan itu susulan titik paling akhir benua Asia terletak kawasan itu pada latitud 01.16° Utara dan longitude 103.30.46° Timur.

Terletak kira-kira 75 kilometer dari Bandaraya Johor Bahru, Parlimen Tanjung Piai sememangnya menjadi tumpuan sektor pelancongan negeri Johor susulan diisytiharkan sebagai Taman Negara.

Saban hari, Taman Negara Tanjung Piai pastinya menerima kunjungan pelawat dari dalam dan luar negara yang teruja untuk melihat kekayaan khazanah alam semula jadi iaitu hutan, hutan paya bakau serta pelbagai spesies flora dan fauna tanpa henti.

Sebelum diisytiharkan sebagai Taman Negara, Tanjung Piai adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Sungai Pulai di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan sebelum diluluskan oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997.

Pada tahun 2002 pula taman itu dibuka kepada orang ramai dan diwartakan sebagai Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004.

Uniknya nama Tanjung Piai dinamakan sempena pokok tempatan dikenali sebagai pokok paku piai.

Artikel Berkaitan:

Keseluruhan kawasan Taman Negara Tanjung Piai meliputi 526 hektar kawasan bakau dan 400 hektar kawasan tanah lembut dan berlumpur di samping terdapat hampir 30 spesis tumbuhan bakau di sini bersama 12 spesies burung air dan burung pantai.

Selain itu usaha pemeliharaan dan pemuliharaan Taman Negara, Tanjung Piai diperkukuhkan dengan pengisytiharan taman itu sebagai tapak Ramsar pada 31 Januari 2003.

Sebuah mercu tanda berwarna kelabu berukuran 20 meter tinggi dan 10 meter lebar dibina kerajaan Johor pada tahun 2001 bagi menggambarkan Tanjung Piai sebagai 'Tanah Paling Selatan Benua Asia'.

Pemilihan warna kelabu itu dikatakan bertujuan menggambarkan kekayaan hutan paya bakau dan dataran lumpur yang terdapat di penghujung benua Asia ini.

Permukaan mercu tanda diukir dua pelepas pokok piai raya(acrostichum aureum) bagi mengabadikan sejarah nama Tanjung Piai.

Bagi seorang penduduk dari Kampung Air Masin, Kukup dekat sini, Shiun Chan Teck,56, berkata, status Tanjung Piai sebagai penghujung benua Asia sememangnya memberi kelebihan kepada mereka untuk membina ekonomi setempat berasaskan industri eko-pelancongan.

Selain penumpuan kepada bidang perikanan dan pertanian, sektor eko-pelancongan juga membolehkan mereka menumpukan kepada pemasaran industri hiliran perikanan dan pertanian untuk dipasarkan kepada pengunjung.

Suasana unik di Kampung Air Masin, Kukup berdekatan Taman Negara Tanjung Piai menggamit kehadiran pelancong. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Suasana unik di Kampung Air Masin, Kukup berdekatan Taman Negara Tanjung Piai menggamit kehadiran pelancong. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

"Namun begitu masalah kawasan Pengkalan Tanjung Piai, Kukup dan Taman Negara yang kini diancam pencemaran sampah-sarap menggusarkan kami.

"Selain sampah-sarap dibuang merata-rata di dalam kawasan laut, terdapat juga sisa bahan buangan memenuhi kawasan jeti dan perkampungan penduduk. Senario sebegini sebenarnya mencacatkan pemandangan dan boleh menjejaskan imej kawasan ini di mata pelancong," katanya.

Sentimen sama juga dikongsi seorang peniaga hanya dikenali Ah Wong, 66, yang menyifatkan mana-mana calon memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kali ini perlu memberi tumpuan serius memastikan kawasan Taman Negara Tanjung Piai benar-benar bersih untuk keselesaan pelancong.

Selain sikap masyarakat tempatan membuang sampah-sarap dan sisa perniagaan secara sesuka hati, terdapat juga pengunjung tidak mempunyai kesedaran sivik bertindak membuang sampah sewaktu berkunjung ke Taman Negara Tanjung Piai.

"Tindakan tegas perlu diambil terhadap pesalah melakukan aktiviti pembuangan sampah merata-rata. Selain itu, wakil rakyat dan agensi kerajaan bertanggungjawab perlu sentiasa mengambil inisiatif menjalankan aktiviti bergotong-royong dan sebagainya bagi memastikan kawasan tumpuan pelancongan itu benar-benar bersih," katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Johor Selatan, Yaacob Mohd Said, 65, mendakwa masalah pencemaran sampah di kawasan Tanjung Piai dan Taman Negara Johor kini berada pada tahap kritikal.

Menurutnya, masalah pembuangan sampah ke kawasan laut turut menyebabkan nelayan pantai sukar mendapatkan hasil laut meskipun isu pokoknya kawasan paya bakau di situ semakin terhakis dan memusnahkan habitat sumber perikanan.

"Sebab itu penting untuk semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan Tanjung Piai dan Taman Negara Johor, yang merupakan antara kawasan pelancongan utama negeri Johor terpelihara kebersihan dan lebih menjadi tarikan pengunjung.

"Mana-mana calon yang hendak memenangi kerusi PRK Tanjung Piai pada 16 November ini juga perlu memastikan agenda menjadikan kawasan itu sebagai tumpuan pelancongan utama negara diletakkan sebagai agenda utama demi pembangunan ekonomi setempat penduduk tempatan," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Jeti Kukup; Kampung Air Masin, Kukup dan Jeti Pangkalan Tanjung Piai turut mendapati masalah sampah-sarap dibuang ke laut secara berleluasa di kawasan berkenaan.

Langkah proaktif perlu diambil demi memastikan imej kawasan Tanjung Piai sebagai penghujung benua Asia terus terpelihara, bukan sahaja sebagai salah satu kawasan tumpuan pelancongan dunia bahkan sebagai kawasan Taman Negara dan tapak Ramsar yang bertujuan memulihara flora dan fauna yang semakin terhakis.

Diharapkan PRK Parlimen Tanjung Piai yang bakal diadakan pada 16 November ini menjadi titik tolak permulaan kepada usaha memartabatkan Tanjung Piai sebagai salah satu pusat pelancongan terkemuka dan terbersih di negara ini.

Taman Negara antara yang terdapat di Tanjung Piai. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Taman Negara antara yang terdapat di Tanjung Piai. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM