Asah kemahiran kedua untuk cari kerja kosong

Gambar hiasan
A
A

SERAMAI 24,600 pekerja sektor swasta diberhentikan kerja sehingga 30 September lalu. Daripada jumlah itu, seramai 21,625 orang terlibat dengan pemberhentian biasa, manakala seramai 2,975 pekerja pula terbabit dalam Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

Pekerja yang terjejas dalam sektor pembuatan seramai 7,944 orang, sektor aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan (7,309 orang), perdagangan, borong dan runcit (2,123 orang)​​​​​​, aktiviti kewangan dan insurans (1,748 orang), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan serta minuman (1,049 orang). Sektor maklumat dan komunikasi melibatkan seramai 679 orang.

Mengulas isu sama, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, sehingga Ogos lalu, kekosongan pekerjaan yang didaftarkan majikan bagi kategori siswazah pula adalah sebanyak 50,326 jawatan, manakala 642,798 kekosongan jawatan untuk kategori bukan siswazah.

Maka, Merak Jalanan berpandangan kerajaan dengan sedaya-upaya perlu membantu ribuan pekerja yang hilang sumber mata pencarian untuk memenuhi jawatan kosong yang masih belum diisi itu.

Amatlah rugi jika mereka dibiarkan tanpa perhatian kerana boleh dikatakan pekerja-pekerja yang diberhentikan itu mempunyai kemahiran lain yang boleh dimanfaatkan.

Misalnya, Merak Jalanan ada seorang kawan yang bekerja dalam sektor jualan. Dia diberhentikan kerana syarikat tempatnya bekerja terpaksa mengecilkan operasi disebabkan masalah kewangan syarikat.

Merak Jalanan lihat walaupun dia memiliki pengalaman dalam bidang jualan, tetapi skil tambahan yang dimilikinya ialah bidang pertukangan.

Cumanya dia memerlukan sedikit dorongan dan bantuan agar ia terus dikembangkan ke tahap lebih baik.

Merak Jalanan harap pihak kerajaan mahupun NGO dapat mewujudkan satu peluang besar kepada golongan ini untuk mengembangkan bakat kedua kerana bakat dan skil utama dimiliki tidak lagi mampu untuk dijadikan mata pencarian.