Cikgu Izzuddin buat tag nama tulisan khat

Cikgu Izzuddin menyiapkan tag nama yang ditempah.
Cikgu Izzuddin menyiapkan tag nama yang ditempah.
A
A
A

CHERAS - Seorang guru yang menghidap penyakit kanser limfoma sejak April tahun lalu dan kini masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mengambil tempahan membuat tag nama tulisan khat dari atas katil hospital bagi menampung kos perubatannya.

Kisah Mohd Izzuddin Zainal, 33, yang dimuat naik seorang rakannya yang menggunakan akaun Mira Jamal JayKay di Facebook mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Isterinya, Suzana Muhamad Tab, 34, berkata, suaminya kini masih bergantung pada mesin oksigen sejak September lalu dan sebelum ini pernah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 18 hari.

Menurutnya, cadangan untuk mengambil tempahan tag nama itu timbul selepas dia menolak cadangan rakan suaminya untuk mewujudkan tabung bantuan bagi menampung kos perubatan.

"Tempahan tag nama ini dimulakan secara kecil-kecilan. Semua tag nama itu ditulis menggunakan tangan kanan memandangkan tangan kiri suami menjadi lemah akibat kesan rawatan biopsi dan radioterapi.

“Sebab utama kami mengambil tempahan ini adalah untuk mencari pendapatan sokongan memandangkan cuti bergaji suami akan tamat Mac tahun depan, sedangkan perjalanan rawatan dan tempoh kuarantin masih panjang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Antara tag nama yang telah berjaya disiapkan oleh Cikgu Izzuddin.
Antara tag nama yang telah berjaya disiapkan oleh Cikgu Izzuddin.

Dalam pada itu, Suzana berkata, hasil jualan tag nama itu bukanlah semata-mata untuk membeli mesin oksigen mudah alih, kerusi roda dan katil namun perlu membeli ubat yang kosnya tidak ditanggung oleh pihak hospital.

Artikel Berkaitan:

"Kami sudah membelanjakan lebih RM12,000 untuk membeli ubatan non formulary sejak September hingga Oktober lalu.

"Rakan suami yang membantu mempromosi tag nama ini dan kini sudah tular di media sosial,” katanya.

Perkongsian kisah itu kini meraih 4,600 tanda suka dan 11,000 telah berkongsi cerita tersebut dan rata-rata netizen mendoakan agar Mohd Izzuddin cepat sembuh daripada penyakit kanser yang dihidapinya selain berpakat untuk menempah tag nama tersebut daripada Cikgu Izzuddin

Shaheera Amelia Anor menulis: "Semoga dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kesihatan yang baik dan kesembuhan sepenuhnya. Insya-ALLAH."

"Walaupun disahkan menghidap kanser, cikgu ini bagi saya seorang yang kuat kerana masih mampu mencari rezeki buat dirinya dan dia tidak langsung berputus harapan dengan penyakit yang dihidapinya, Saya tabik pada cikgu," kata Nora Rahman di Facebook.