Pesakit mental mangsa diskriminasi

Kerajaan, pihak berwajib perlu perhalusi dasar kesihatan berkaitan dengan lebih jelas

A
A
A

PENYAKIT mental merujuk kepada keadaan kesihatan yang disebabkan perubahan emosi, pemikiran atau tingkah laku. Boleh jadi juga situasi itu berlaku hasil gabungan ketiga-tiga elemen tersebut.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan, penyakit mental merupakan antara lima penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia.

Dijangkakan pada tahun 2020, ia akan menjadi penyebab kedua tertinggi berlaku dalam kalangan masyarakat.

Malangnya, ramai yang mendapat 'serangan' penyakit itu terlalu klise dan lebih menyedihkan apabila insan di sekeliling termasuk ahli keluarga menyisihkan ahli keluarga yang berdepan dengan situasi itu lantaran berasa malu.

Menurut Persatuan Pakar Psikiatri Amerika, sama seperti penyakit jantung atau diabetes, penyakit mental sebenarnya berpotensi untuk dirawat.

Dengan melakukan diagnosis dan memiliki pemahaman yang luas untuk menguruskannya, mangsa boleh kembali menjalani kehidupan normal dan mampu menguruskan kesihatan mental dengan lebih bagus.

Namun dalam konteks di negara ini, terdapat tembok penghalang ke arah itu. Apakah cabaran besar dan kekangannya? Ikuti perkongsian Sihat:Aktif pada minggu ini.

Kemelut

"PERNAH saya beritahu dia bahawa saya tidak pandai membuat sebarang kerja. Namun, beliau membalas, survival atau ikhtiar hidup adalah suatu anugerah”.

Artikel Berkaitan:

Kata-kata itu dipetik daripada buku bertajuk memoir Girl, Interrupted yang ditulis Susanna Kaysen, penulis berbangsa Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1993.

Kisah yang turut difilemkan itu menceritakan tentang pengalaman Susanna yang menjalani kehidupan sebagai pesakit mental selama dua tahun di sebuah hospital psikiatri di AS.

Benar seperti yang diperkatakan dalam buku tersebut, ikhtiar hidup adalah suatu anugerah, lebih-lebih lagi bagi seorang pesakit mental.

Ini kerana pesakit mental sering didiskriminasi dan dipinggirkan oleh masyarakat meskipun isu kesihatan mental semakin mendapat perhatian daripada kerajaan, pengamal perubatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Situasi sebegitu berlaku gara-gara peningkatan pesakit mental dan kejadian membunuh diri dalam kalangan pesakit.

Pun demikian, persoalannya, adakah kesedaran itu diterjemahkan kepada tindakan untuk menangani isu kesihatan mental di negara ini?

Sikap

Diakui bahawa sikap masyarakat umum terhadap penyakit dan pesakit mental telah banyak berubah, demikian menurut Ketua Komunikasi Kreatif MINDAKAMI, Zulaikha Mohamad.

MINDAKAMI adalah sebuah inisiatif belia yang dibiayai sendiri untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental di Malaysia.

"Namun, diakui bahawa stigma dan diskriminasi terhadap pesakit mental masih berleluasa. Ramai orang berkongsi pengalaman bagaimana mereka diperlakukan secara negatif di media sosial MINDAKAMI.

"Ada dalam kalangan pesakit mental dilayan dengan teruk oleh jururawat dan doktor, dipecat, dihalau dari rumah dan diseksa oleh anggota keluarga secara mental dan fizikal ekoran keadaan diri mereka," kata Zulaikha yang juga Pengasas Bersama MINDAKAMI kepada Bernama.

Zulaikha berkata, terdapat banyak platform dalam talian yang boleh menjadi ruang selamat umpamanya MINDAKAMI untuk membantu individu ingin mendapatkan sokongan bagi masalah kesihatan mental.

Menurutnya, pun begitu orang ramai cenderung melihat penyakit mental dari sudut yang negatif, misalnya menganggap bahawa seseorang itu mengada-gada dan hanya 'berdrama'.

Sedangkan bersandarkan laporan Penyelidikan Sistem Kesihatan Malaysia (Mac 2016), penyakit mental adalah penyebab utama kerugian bagi individu, keluarga, majikan, sistem kesihatan dan kebangsaan.

Ini kerana ia melibatkan kos kesihatan secara langsung dan tidak langsung, ketidakhadiran, kehilangan produktiviti semasa di tempat kerja dan mengurangkan pendapatan negara.



No Image Caption



​​​​Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika dilantik memegang jawatan itu juga berikrar bahawa isu kesihatan mental akan menjadi antara fokus utama beliau apabila menyandang portfolio kesihatan.

Malah, kesihatan mental kini turut menjadi keutamaan pelbagai kementerian kerana ia secara semula jadinya bersifat holistik.

Secara asasnya, perkhidmatan penjagaan kesihatan mental yang formal dilaksanakan dalam tiga cabang utama iaitu perkhidmatan kesihatan mental di hospital, penjagaan kesihatan primer dan perkhidmatan kesihatan mental berasaskan komuniti.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2015 pula menunjukkan bahawa terdapat peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa.

"Bagaimanapun sehingga kini masih tiada garis panduan rasmi, prosedur operasi standard dan latihan untuk pihak di barisan hadapan seperti pegawai polis, jururawat dan anggota bomba untuk mendekati pesakit mental dengan cara yang lebih kesejahteraan dan menjaga hak asasi manusia," kata Zulaikha lagi.

Realiti

Berdasarkan fakta, gangguan mental dan kadar bunuh diri di Malaysia meningkat sejak sedekad yang lalu. Wajarlah tindakan segera diambil untuk menangani masalah itu.

Menurut Pegawai Penyelidikan Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Jade See, populasi B40 berisiko tinggi untuk menghadapi masalah kesihatan mental ekoran keadaan kehidupan mereka yang sukar.

"Ini akan memberi kesan ketara kerana mereka merupakan golongan yang tidak mampu ke klinik swasta dan hanya boleh mendapatkan rawatan di pusat penjagaan kesihatan awam," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira satu juta orang mati akibat bunuh diri setiap tahun dan itu mewakili kadar kematian global sebanyak 16 orang atau satu kematian bagi setiap 40 saat.

Di Malaysia, kadar bunuh diri dianggarkan secara puratanya 13 orang bagi setiap 100,000 individu. Kadar cuba membunuh diri pula secara purata dianggarkan 15 kali lebih tinggi berbanding bilangan bunuh diri yang benar-benar berlaku.

Meskipun, beberapa kementerian sedang berusaha untuk menangani masalah itu, termasuk merangka pelan tindakan strategik bagi kesihatan mental, tindakan holistik dan kerjasama perlu dipertingkatkan.

Menurut Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Pusat dalam dasar ringkasnya yang bertajuk Meningkatkan Kesihatan Mental di Malaysia: Saranan bagi Penggubal Polisi yang diterbitkan pada Januari 2019 menyebut bahawa Seksyen 309 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman terhadap mana-mana individu yang disabitkan kesalahan cuba membunuh diri dengan hukuman penjara maksimum setahun denda atau kedua-duanya.

Namun, hukuman sebegitu dikatakan mempunyai kesan negatif kepada mereka yang cuba membunuh diri dan menggesa kerajaan untuk memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Dalam hal tersebut, Zulaikha berpendapat, tidak mensabitkan cubaan bunuh diri sebagai jenayah perlu dilakukan bagi mengurangkan stigma mengenai isu-isu kesihatan mental.

"Undang-undang antidiskriminasi juga perlu dikuatkuasakan untuk individu yang mengalami masalah penyakit mental kerana Akta Orang Kurang Upaya 2008 terbukti tidak mencukupi," katanya.

Kerajaan juga harus mewujudkan semula Daftar Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM) kerana negara kekurangan pangkalan data komprehensif bagi kes bunuh diri, katanya.

NSRM ditubuhkan pada tahun 2007 untuk membolehkan orang ramai mengakses data mengenai bunuh diri di negara ini. Bagaimanapun, selepas dua laporan diterbitkan, laman web rasmi NRSM tidak lagi wujud pada 2009.

Pada awal Jun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa Jabatan Peguam Negara diarahkan mengkaji cadangan untuk tidak mensabitkan cubaan bunuh diri sebagai termaktub di dalam Kanun Keseksaan.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial juga menggesa agar diwujudkan semula Daftar Kesihatan Mental Negara untuk memastikan liputan menyeluruh terhadap gangguan mental, kemas kini dan pemantauan teratur serta pendaftaran secara terus di dalam sistem penjagaan kesihatan.

Buat permulaan, pejabat pendaftaran boleh menyusun data sedia ada yang berkaitan dengan kesihatan mental dari pejabat pendaftaran lain, seperti Laporan Prestasi Kesihatan Mental Nasional 2016, kata Pusat Galen.

Saringan

Menurut Zulaikha, MINDAKAMI berpendapat bahawa saringan dan pendidikan mengenai kesihatan mental perlu ditangani dari awal usia.

"Kita tahu bahawa Kementerian Kesihatan mempunyai Program Minda Sihat di sekolah awam walaupun ia tidak begitu meluas. Namun, saya kurang yakin dengan keberkesanannya kerana masih belum ada laporan nasional untuk menilai program ini," katanya.

Justeru, beliau menggesa agar lebih banyak pekerjaan disediakan untuk pegawai psikologi dan ahli psikologi klinikal dalam sektor kerajaan kerana ramai yang mendapatkan rawatan di sektor swasta kerana kekurangan peluang dalam kerajaan.

"Kerajaan juga perlu melihat kelayakan, pematuhan etika dan kecekapan kaunselor sekolah kerana ramai pelajar takut untuk menghubungi mereka kerana terdapat persepsi bahawa kaunselor akan memberitahu orang lain dan ia akan tersebar di sekolah," katanya.

No Image Caption



Stigma

STIGMA terhadap pesakit mental yang sering dikaitkan sebagai golongan yang boleh bertukar menjadi 'ganas' pada bila-bila masa dan 'perlu diasingkan' masih menebal dalam kalangan masyarakat.

Pegawai Perubatan Psikiatri Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Dr Letchumi Muniandi berkata, pandangan sedemikian masih kuat disebabkan kesedaran orang ramai penyakit mental masih sangat kurang.

"Bila tahu saja sakit mental, ramai mengaitkan golongan itu sebagai 'ganas', 'harus diketepikan' dan anggap mereka bukan sebahagian daripada masyarakat.

"Ramai juga tidak tahu rawatan. Di Malaysia kebanyakannya lebih suka mendapatkan perubatan tradisional dahulu. Bila penyakit sudah serius dan melarat baru hendak ke hospital," kongsinya dengan Sihat:Aktif.

Seharusnya sekiranya terdapat tanda-tanda awal masalah kesihatan mental lagi pesakit sudah dibawa untuk rujukan di hospital atau pusat rawatan di klinik dan pusat kesihatan disediakan kerajaan, katanya.

"Jangan cenderung mendapatkan rawatan awal dengan bomoh, tabib dan orang berkaitan agama masing-masing. Masih ada stigma mengatakan sakit ini buatan orang dan bukan penyakit yang perlukan ubat. Mereka tak tahu ada rawatan. Tapi kebanyakannya akan mudarat sebab tidak mendapatkan rawatan sebenar. Mana mungkin kita tahu pesakit mental yang mana akan 'mengganas' dan yang mana akan pulih jika tidak ambil rawatan," jelasnya.

Memberikan contoh, menurutnya penyakit jenis skizofrenia dan bipolar misalnya, sememangnya sejenis penyakit kronik.

Sehubungan itu, rawatannya sewajarnya berterusan dan mengambil masa lama manakala penyakit kebimbangan melampau dan depresi dikatakan jenis penyakit mental yang sangat biasa, hingga empat daripada 10 orang menghidap penyakit itu.

Disebabkan penyakit berkenaan bersifat individualiti (berbeza) dan mempunyai banyak jenis, justeru anggapan bahawa penyakit mental semuanya sama sebenarnya perlu diperbetulkan, kata Dr Letchumi.

"Jika berjumpa doktor, mereka yang akan nilaikan penyakit. Nasihat saya, jika hendak mencuba rawatan alternatif terpulang, tapi perlu juga datang ke hospital. Dapatkan infomasi mengenai penyakit itu dahulu sebelum membuat keputusan sama ada hendak terus mendapatkan ubat alternatif itu atau tidak," katanya.

ANEKDOT

Secara umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama:

1) Neurosis:

Mereka yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan mereka.

Contoh penyakit neurosis:

a. Kemurungan

b. Kebimbangan

2) Psikosis

Mengalami perubahan yang amat ketara dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku. Penderita akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengan mereka. Ia dikenali sebagai halusinasi.

Mereka mungkin bercakap dengan merapu atau mengarut; berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah dengan tiada bersebab. Contoh psikosis:

a. Skizofrenia:

Berhalusinasi; delusi; kecelaruan pemikiran, kecelaruan pertuturan dan tingkah laku. Prestasi kerja mereka juga merosot dengan ketara.

b. Kecelaruan manik-depresif (dwikutub):

Penyakit ini mengakibatkan mereka mengalami perubahan ketara dari segi emosi. Mereka sering hilang kawalan dan menjadi terlalu gembira (fasa manik) atau terlalu sedih (fasa kemurungan).

3) Kecelaruan Personaliti

Secara asasnya seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter. Masalah yang dialami boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.

Apa yang menyebabkan berlakunya penyakit mental?

Penyebabnya tidak diketahui dengan tepat. Namun terdapat beberapa faktor yang menyumbang:

Faktor genetik/ keturunan:

- Ahli keluarga mempunyai sejarah penyakit mental.

- Gangguan bahan kimia dalam otak:

Bila bahan kimia dalam otak yang dikenali sebagai neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik gejala penyakit mental akan muncul. Contohnya:

Skizofrenia- Penghasilan dopamin secara berlebihan

Kemurungan - Paras serotonin terlalu rendah

Mania - Paras serotonin meningkat secara melampau

Kebimbangan - terdapat gangguan di dalam pengeluaran dan fungsi noradrenalin

- Jangkitan virus

- Sejarah hidup yang getir:

- Keadaan sosio-ekonomi yang rendah