Laporan polis tuduhan rasuah VEP bermotif politik: Jeck Seng

Jeck Seng menyampaikan ceramah pada Ceramah Berkelompok BN di Warung Kampung Penerok malam ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Jeck Seng menyampaikan ceramah pada Ceramah Berkelompok BN di Warung Kampung Penerok malam ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menyifatkan laporan polis menuduhnya terlibat rasuah projek Permit Masuk Kenderaan (VEP) bermotif politik untuk menjatuhkannya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ketika ini.

Menurutnya, situasi itu sama dengan apa berlaku ketika PRK DUN Rantau sebelum ini apabila laporan polis dibuat terhadap calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan kononnya terlibat rasuah pembelian pangsapuri luar negara.

Katanya, setelah berakhirnya PRK Rantau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya membersihkan nama beliau dan pihak lawan pula tidak lagi membangkitkan isu tersebut.

"Ditegaskan bahawa dakwaan dibuat terhadap saya yang mengaitkan dengan projek VEP ini sebenarnya bukanlah perkara baharu malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah pun membuat pendengaran sebanyak 3 kali sejak Mac tahun ini.

"Banyak tuduhan yang disebarkan ketika ini adalah tidak berasas dan ianya telah pun dijelaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017.

"Misalnya tuduhan mengatakan bahawa syarikat berjaya mendapatkan projek berkenaan hanya memiliki RM35 dalam akaun bank. Walhal laporan Ketua Audit telah mengatakan bahawa syarikat terbabit memiliki lebih daripada RM3 juta dan melepasi kelayakan minima sebagaimana yang disyaratkan, "katanya kepada media sewaktu menemui pengundi di pusat daerah mengundi Kampung Penerok di sini malam ini.

Dr Jeck Seng berkata, tuduhan mengatakan kos operasi meningkat tinggi juga tidak tepat kerana ia sebenarnya disebabkan peningkatan dalam skop ketara termasuk lebih daripada dua kali ganda kapasiti dalam beberapa keperluan.

"Saya perhatikan bahawa Laporan Audit juga menyatakan bahawa projek itu telah berjaya mengumpul lebih daripada RM177 juta hasil untuk kerajaan sejak ia dilaksanakan pada tahun 2016 sehingga Jun 2018," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Jeck Seng berkata, bagi menepis keraguan, beliau tidak pernah menjadi pengarah untuk syarikat dikaitkan dan saya tidak lagi memegang apa-apa saham dalam syarikat berkenaan.

"Saya tidak sesekali terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana awam. Saya amat yakin PAC dan pihak polis pastinya akan membersihkan nama saya.

"Semua pihak seharusnya menghentikan taktik kotor dan kembali kepada fokus utama iaitu berkhidmat untuk rakyat, "katanya.

Hari ini Penyokong Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis ke atas Dr Jeck Seng hari ini bagi mendesak isu kontrak melibatkan Kementerian Pengangkutan bernilai RM150 juta dikaitkan calon itu disiasat segera.

Ketua Urusetia Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Haji Ismail, Faisal Yunus,52, berkata, gesaan itu dibuat susulan Jeck Seng didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai pemimpin MCA dan bekas pemegang saham syarikat TCSens Sdn Bhd bagi dianugerahkan kontrak secara rundingan terus pada tahun 2014.