Perkenal TVET di peringkat pra-sekolah

Datuk Palaniappan Joseph
A
A

SHAH ALAM - Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu diperkenalkan di peringkat pra-sekolah sebagai pendedahan awal bukan sahaja kepada anak-anak tetapi juga ibu bapa.

Pengerusi AJK Industri JK Teknikal TVET, Datuk Palaniappan Joseph berkata, sekiranya sistem itu boleh dilaksanakan, ia akan memberi peluang kepada ibu bapa dan juga anak-anak untuk melihat potensi sebenar TVET.

Beliau berkata, ketika ini, program TVET dilihat sebagai pilihan terakhir dan hanya akan dipilih apabila anak-anak mendapat keputusan tidak bagus dari segi akademik.

Menurutnya, keadaan itu sedikit sebanyak memberi tanggapan negatif kepada graduan-graduan yang lahir dari TVET.

"Jadi jika kita dapat mewujudkan satu sistem TVET di peringkat lebih awal iaitu pra-sekolah pasti akan dapat mengubah persepsi tersebut dan memberi satu konteks yang lebih positif.

"TVET ini boleh dilihat sebagai platform yang boleh membina kerjaya dihormati dan boleh mewujudkan taraf hidup lebih baik," katanya pada Wacana Siri 138 'Graduan TVET: Cabaran dan Harapan di Dewan Karangkraf di sini malam ini.

Katanya, beliau berharap ibu bapa khususnya akan melihat bahawa TVET sebagai bidang yang boleh mengubah hala tuju masa depan anak-anak dan dijadikan sebagai pilihan utama dalam kerjaya.

Antara panel lain yang hadir adalah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohammad Naim Yaakub dan Ikon TVET dan Pengurus Nams Energy Sdn Bhd, Muhammad Qamarul Auji.