X

Kindly register in order to view this article
!

Perihal golongan peniaga B40

A
A

BARU-baru ini saya menerima mesej WhatsApp daripada seorang sahabat. Mesej itu mengandungi imej sebuah poster dan beberapa imej sebuah ekspo makanan. Sahabat saya meminta saya membantunya untuk menularkan mesej itu melalui grup WhatsApp dan juga media sosial.

Notanya berbunyi: “Ekspo makanan ini tak dapat sambutan kerana tidak dapat liputan dan promosi yang baik. Banyak makanan tak habis kerana tiada siapa nak beli. Tolong sebarkan kepada semua kawan-kawan. Ajak mereka datang beramai-ramai.”

Meskipun saya segera menularkan mesej sahabat saya itu, hati saya berasa terkilan. Terkilan kerana hari akhir ekspo adalah pada keesokan hari. Memang sukar jika seseorang hendak membuat keputusan pada waktu yang singkat, apatah lagi apabila diajak ke sebuah ekspo yang agak jauh dari ibu kota.

Saya memikirkan mengapa pihak penganjur tidak berpandangan jauh untuk memanggil orang ramai datang ke ekspo makanan yang dianjurkannya. Mengapa mereka tidak membuat hebahan melalui radio atau televisyen?

Tarikh ekspo itu memang sudah cantik kerana diadakan pada hujung bulan. Apabila jualan diadakan pada tarikh orang mendapat gaji, mereka yang tiada rancangan khusus akan membawa keluarga untuk berkunjung ke ekspo.

Saya merenung dan tertanya, susah sangatkah mempromosi barang jualan? Pada zaman saya kecil dahulu, seorang budak dari hujung kampung yang menjual nasi lemak pun pandai melaung untuk menarik perhatian orang membeli nasi lemaknya. Pada era alam siber dengan masing-masing berswafoto di sana sini, mengapa mereka tidak ambil kesempatan menghebahkan hal yang mereka terlibat dengan ekspo makanan itu di laman sosial mereka? Mesti ada sebabnya.

Berniaga itu bekerja sendiri. Kita ada idea, kita ada modal, kita buat barangan atau beri perkhidmatan, lalu kita hebahkan sendiri. Bukan orang lain yang lakukan. Jika kita sertai mana-mana karnival atau ekspo, kita tidak boleh harapkan pihak penganjur lakukan promosi untuk kita, meskipun ia adalah sebahagian tugas penganjur. Jika pihak penganjur tidak ambil berat untuk mempromosi karnival anjurannya, kita sebagai peniaga yang akan rugi.

Promosi

Di sebalik kegilaan pelbagai entiti perniagaan yang besar atau kecil mempromosi barangan masing-masing terutama di media sosial kerana kosnya yang rendah, masih ada ramai lagi mereka yang tidak mengambil kira betapa pentingnya promosi barangan dan perkhidmatan mereka.

Jika promosi itu dianggap hanya untuk usahawan yang hebat-hebat, ada sesuatu yang tak kena dengan golongan peniaga tersebut. Saya bukan salahkan mereka jika mereka tidak tahu atau anggap ia tidak penting.

Saya salahkan pihak berwajib, agensi yang patut memupuk mereka daripada tahap peniaga ke peringkat usahawan. Ini kerana golongan yang menyertai ekspo lazimnya adalah golongan yang belum memahami keseluruhan skop perniagaan yang bukan sahaja mencakupi bidang jual beli tetapi simpanan akaun, promosi, pemasaran, pengiklanan, malah teori penawaran dan permintaan. Mereka hanya memahami cara menyediakan produk dan menjualnya. Itu sahaja.

Lagi pula, jangan kita anggap golongan peniaga secara kecil-kecilan adalah golongan yang sudah kaya. Kalau kita perhatikan betul-betul, mereka berniaga kerana ingin mendapatkan sesuap nasi.

Kalau pelanggan hulur RM100, mereka terkocoh-kacah ke gerai sebelah untuk menukar wang. Mereka bukannya tidak mahu menukar wang, mereka memang tiada wang baki sebanyak pulangan RM100. Tiang khemah mereka yang sudah tercabut skru pun mereka ikat dengan dawai ke tiang gerai sebelah. Bumbung khemah pun mereka sulam dengan tali rafia ke bumbung khemah gerai sebelah supaya tak tiris bila hujan turun.

Bila jualan suram, tuan punya gerai minuman akan membeli nasi daripada penjual di gerai sebelah. Yang menjual nasi itu pun membeli pula minuman daripada gerai jirannya. Mereka tolong-menolong untuk melakukan. Silap gaya jika jualan betul-betul lembab, sewa gerai pun tak lepas walaupun harganya puluhan ringgit sehari.

Kita jangan anggap golongan peniaga sebegini adalah golongan senang. Mereka pun kais pagi makan pagi. Kalau mereka tidak pandai buat promosi atau lebih tepat tiada modal untuk buat promosi, pihak penganjurlah yang patut betul-betul bantu mereka. Tidak bolehlah anggap mereka semua sudah kaya dan cekap berniaga hingga kita penganjur buat tak tahu.

Golongan B40 pun ramai terdiri daripada golongan tersebut. Bezanya, mereka hanya mengeluh sesama sendiri dan tak sempat nak tulis di media sosial kerana keletihan setelah pulang berniaga.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!