Pembukaan Terminal Feri Antarabangsa Kukup ditunda lagi

Dr Sahruddin (berdiri) beramah mesra bersama penduduk kawasan setempat pada Ceramah Kelompok Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Pusat Daerah Mengundi Peradin, Kg Belokok, Teluk Kerang malam ini. - Foto Bernama
A
A

PONTIAN - Terminal Feri Antarabangsa Kukup dekat sini yang sepatutnya beroperasi semula sepenuhnya esok terpaksa ditunda sekali lagi berikutan masalah teknikal di Indonesia.

Semasa menjelaskan perkara berkenaan, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, negara itu masih belum membenarkan feri dari Malaysia berlabuh di Tanjung Balai, Pulau Karimun, Indonesia.

"Saya ingin memohon maaf kerana terdapat beberapa masalah teknikal di pihak Indonesia yang mana kapal (feri) dari Malaysia masih belum dibenarkan berlabuh.

Esok wakil kerajaan Johor akan ke Indonesia untuk melihat perkara ini dan menghantar beberapa dokumen yang diperlukan untuk feri kita berlabuh di situ.

Dua tiga hari ini kita akan ke sana lihat dulu hasil perbincangan dengan mereka, kita akan pastikan (operasi feri) dipercepatkan," katanya di pusat daerah mengundi Peradin Tanjung Kerang dekat sini malam ini.

Terminal itu sepatutnya dibuka pada 1 November lepas namun ditunda pada 6 November bagi proses pemindahan feri dari Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di Iskandar Puteri dan urusan insurans.

Operasi terminal feri itu dihentikan sementara mulai 1 September lepas berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut atas sebab-sebab tertentu dan operasinya dialih ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Iskandar Puteri.

Sahruddin berkata, masalah hutang antara operator feri yang terdahulu dengan pihak Indonesia antara punca operasi feri ke negara itu belum dibenarkan.

"Syarikat operator feri yang lepas amat bermasalah dengan Indonesia dan kerajaan negeri, oleh itu Indonesia mahu memastikan syarikat sedia ada tidak ada kena mengena dengan syarikat lama," katanya.

Ditanya mengenai aspek keselamatan di terminal terbabit, Dr Sahruddin berkata, ia akan diperketatkan supaya tiada lagi isu penggunaan pasport palsu di pintu masuk negara itu.

Katanya, selepas pembukaan terminal tersebut Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan mengambil alih operasi terminal itu. - Bernama