Masjid baharu siap dibina

Reezal bersama Khaliq ketika hadir dalam Majlis Pengisytiharan Solat Pertama Masjid Baru Padang Benggali.
Reezal bersama Khaliq ketika hadir dalam Majlis Pengisytiharan Solat Pertama Masjid Baru Padang Benggali.
A
A
A

KEPALA BATAS - Penduduk sekitar kawasan Padang Benggali, Bertam menarik nafas lega apabila sebuah masjid baharu siap dibina setelah mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan.

Masjid Jamek Padang Benggali yang tersergam indah ini menelan kos hampir RM2.5 juta dan mampu menampung seramai 1500 jemaah pada satu-satu masa.

Pengerusi Masjid Jamek Padang Benggali, Mohd Saleh Ahmad berkata, masjid baharu ini dibina di atas tapak masjid lama.

"Pada mulanya cadangan untuk menambah ruangan di masjid lama, namun setelah perbincangan diadakan jawatankuasa mengambil keputusan untuk membina sebuah masjid baharu.

"Masjid baharu ini mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya," katanya.

Ruang dalaman masjid yang indah dan selesa.
Ruang dalaman masjid yang indah dan selesa.

Katanya, selain daripada itu pelbagai kemudahan turut disediakan di masjid ini.

"Ruang solat yang selesa untuk para jemaah, selain itu kemudahan untuk golongan kurang upaya (OKU), pejabat, ruang mengambil wuduk serta ruangan luar yang luas serta selesa.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, dengan terbinanya masjid baharu ini, diharapkan anak kariah dapat mengimarahkannya di setiap waktu dan sentiasa hadir di masjid ini," katanya.

Jemaah masjid, Husni Mubarak, 29, berkata dirinya teruja setelah masjid ini siap dibina.

"Sebelum ini, masa masjid dalam pembinaan, kami bersolat di dewan sementara, alhamdulillah, siap masjid ini, dapat kami gunakan dan bersolat disini.

Antara bahagian ruang dalaman masjid yang indah dan selesa.
Antara bahagian ruang dalaman masjid yang indah dan selesa.

"Saya cukup kagum dengan hasil bina masjid ini, ukiran di dinding misalnya memang cukup indah, memang cukup selesa," katanya.

Adun Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, terbinanya masjid ini sekali gus memberi sinar kepada penduduk untuk sentiasa mengimarahkannya.

"Masjid ini dapat menjadi pusat utama buat penduduk dan hadir untuk pelbagai aktiviti dan program di masjid ini kelak.

"Penduduk sememangnya mengharapkan pembinaan masjid ini dapat disempurnakan, dan alhamdulillah ia berjaya disiapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengisytiharan Solat Pertama Masjid Baru Padang Benggali.

Hadir sama dalam majlis ini adalah Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor serta Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.