X

Kindly register in order to view this article
!

Kemajuan projek ECRL 11.07 peratus: Anthony Loke

Anthony Loke Siew Fook
A
A

KUALA LUMPUR - Sehingga September lepas, kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berada pada tahap 11.07 peratus dengan mengambil kira kerja-kerja pra-pembinaan yang turut merangkumi kerja reka bentuk dan perolehan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, di samping itu kerja pembinaan terowong dan laluan bertingkat di sepanjang 223 kilometer jajaran ECRL antara Dungun, Terengganu dan Mentakab, Pahang juga sedang dijalankan.

“Bagi proses pengambilan tanah pula, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah menyambung semula proses pengambilan tanah bagi jajaran ECRL antara Dungun dan Mentakab di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah, yang mana sebahagiannya telah diwartakan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen hari ini sebagai jawapan kepada soalan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) berhubung status terkini projek ECRL.

Anthony Loke seterusnya berkata, MRL sebagai pemilik projek ECRL telah mengemukakan Skim Keretapi ECRL pada September lepas bagi jajaran Kota Bharu ke Dungun kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Selain itu, penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Laporan Penilaian Impak Warisan (HIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) juga sedang dilakukan.

Projek itu disambung semula setelah perjanjian tambahan antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd dimeterai pada 12 April 2019.

Ia menyaksikan pengurangan kos projek sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus