KPLB sasar 20 jutawan luar bandar tahun depan

Rina (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang rakan strategik yang menjayakan Program Desa Harapan di bawah KPLB.
Rina (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang rakan strategik yang menjayakan Program Desa Harapan di bawah KPLB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan untuk melahirkan 20 jutawan luar bandar pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah tersebut sebagai memberikan inspirasi kepada masyarakat luar bandar untuk berjaya.

"KPLB nak buktikan dengan hanya menjual produk keluaran kampung pun kita boleh berjaya berbanding jual barang yang mahal-mahal.

"Melalui program yang dipantau KPLB telah banyak membantu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar melalui sektor ekonomi dan pendidikan," katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama Rakan Strategik Program Desa Harapan di Hotel Premiera di sini hari ini.

Rina berkata, tanggungjawab membangunkan negara bukan terletak pada tangan kerajaan sahaja sebaliknya memerlukan usaha pelbagai pihak termasuk rakan strategik, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

"Dah 62 tahun merdeka namun masyarakat luar bandar masih dikaitkan dengan kemiskinan sedangkan banyak projek dijalankan kementerian. Sebab itu KPLB sasarkan peningkatan ekonomi dan modal insan masyarakat luar bandar.

"Syarikat swasta banyak membantu dari segi pembangunan ke arah itu antaranya melalui projek penanaman serai dan cili untuk dijual kepada pengilang produk, serta khidmat tukang jahit oleh pengeluar telekung Siti Khadijah," katanya.

Selain itu katanya, KPLB turut menawarkan latihan dan tunjuk ajar termasuk pemasaran secara atas talian dalam membantu masyarakat luar bandar berubah bersesuaian dengan kehendak industri diperlukan.

Artikel Berkaitan:

Program Desa Harapan mula diperkenalkan pada Disember 2018 telah memilih tiga lokasi iaitu di Kampung Kinjang Chenderiang Kedah, Kampung Kuala Tamonyong Langkawi dan Kampung Weng Kedah dengan kerjasama 27 rakan strategik.