Penjara 5 tahun kerana miliki buku lima

Gambar Hiasan
A
A

KUALA LUMPUR – Padah membawa senjata buku lima ke tempat kerja isterinya, minggu lepas, seorang pengawal keselamatan dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah sesyen di sini, hari ini.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Husin Ujang, 45, selepas mengaku bersalah memiliki senjata itu di ruang legar Pejabat Pentadbiran Kanan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada jam 8.50 pagi, 13 November lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan 10 tahun.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh itu berjalan mulai tarikh tangkapan pada hari kejadian.

Mengikut fakta kes, tertuduh pergi ke tempat kerja isterinya dan semasa berada di ruang legar pejabat tertuduh meninggikan suara dan meminta isterinya supaya bercuti.

Isterinya ternampak suaminya memegang buku lima di tangan kanannya serta mengugut rakan sekerjanya supaya meminta beliau berjumpa dengan tertuduh di luar pagar pejabat itu.

Susulan insiden itu, isterinya membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada hari yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamaluddin, memohon hukuman setimpal, namun Mohd Husin yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atasnya dengan alasan dia mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah dan menuntut di kolej. - Bernama