Pemuda BN buat laporan polis terhadap Salahuddin

Syahrulzaman (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Pontian petang tadi.
Syahrulzaman (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Pontian petang tadi.
A
A
A

PONTIAN - Petikan kata-kata ucapan dipercayai Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam perjumpaan tertutup di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio, Kukup Laut yang tular sejak tengah hari tadi disifatkan berbaur perkauman sehingga boleh mengancam kestabilan negara.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Syahrulzaman Ibrahim berkata, video dipercayai perjumpaan tertutup bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai itu dipaparkan di pautan laman Facebook "OPS JOHOR" itu turut dikongsi secara meluas di media sosial.

"Antara petikan kata-kata beliau (Salahuddin) yang jelas berbaur perkauman dan mencetuskan kebencian adalah "Saya tau ada marahkan PH (Pakatan Harapan) tapi ingat...kalau bagi balik BN (Barisan Nasional) berkuasa...dia kawan sama Pas...ini country akan huru hara!...kita boleh berniaga, boleh sekolahkan anak, tiada orang tembak sana sini, tiada orang bakar sana sini. Nak berniaga tak boleh nak pergi laut tak boleh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini petang tadi.

Hadir sama Ketua Pemuda BN Johor, Mohd Hairi Mohd Shah, Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon, Ketua Pemuda Pas Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz dan Ketua Pemuda MIC Tanjung Piai, A Logeswaran.

Syahrulzaman meminta agar pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut sebagaimana di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 kerana mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan kaum dalam kempen pilihan raya.

"Laporan akan dibuat kepada pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bagi menyiasat perkara ini supaya tindakan tegas dapat diambil," katanya.

Artikel Berkaitan: