X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah rugi 30 peratus akibat ketirisan hasil royalti

Mohamad (tiga dari kiri) memeriksa lori disita dalam Ops Tiris dilakukan PTG Kedah bersama agensi kerajaan lain pada sidang media di Pejabat PTG Kedah di sini hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah dianggarkan mengalami kerugian kira-kira 30 peratus tahun ini akibat ketirisan hasil royalti bahan batuan yang dikesan berlaku di seluruh Kedah.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah, Datuk Mohamad Che Nai berkata, Kedah menjangkakan kutipan hasil royalti bahan batuan diperolehi sekitar RM17 juta pada tahun ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan hanya sekitar RM14 juta hasil diperolehi setakat ini berbanding jumlah kutipan sepatutnya diperolehi, iaitu RM17 juta dari seluruh kuari di negeri ini.

"Dalam bajet kali ini, kita menjangkakan menerima kutipan hasil sebanyak RM17 juta. Bagaimanapun, hanya lebih kurang RM14 juta sahaja diperolehi akibat isu-isu ketirisan.

"Berdasarkan risikan dilakukan, kita mengesan hampir 30 peratus ketirisan hasil yang sepatutnya dikutip di seluruh Kedah," katanya pada sidang media di Pejabat PTG Kedah di sini hari ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Penguatkuasaan PTG Kedah, Shahir Salleh.

Menurutnya, antara bentuk ketirisan dikesan ialah beroperasi di luar waktu dibenarkan, tiada resit hasil dikeluarkan pengusaha kuari kepada pemandu lori, tiada pelekat kenderaan PTG pada lori dan membawa muatan lebih dari dicatat dalam resit hasil.

Kata beliau, pihak sudah lama mengesan ketirisan berlaku di kuari-kuari dan mengambil tindakan tegas kepada pengusaha yang degil, bagaimanapun ada yang masih berdegil.

"Ketirisan ini ada dua. Yang pertamanya, haram iaitu tidak permit, lesen mahupun kebenaran. Yang lagi satu, ada permit dan lesen, namun melakukan operasi di luar waktu jam 8 pagi hingga 5 petang dan tidak ada resit hasil.

"Antara ketirisan kerap ditemui ialah dari segi resit hasil yang mana setiap pemandu lori kena keluarkan resit hasil bagi setiap trip dilakukan. Namun kita mengesan ada yang mengitar semula sebanyak empat hingga lima kali. Kemudian, barulah guna yang baru. Inilah yang sebabkan kita rugi banyak," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak sentiasa melakukan tindakan demi menangani isu-isu ketirisan hasil royalti bahan batuan ini di Kedah.

"Terbaru kita menyita tiga lori dan sebuah jentera penggali kerana tidak memiliki resit hasil dikeluarkan pengusaha kuari kepada pemandu dan beroperasi di luar waktu yang dibenarkan dalam Ops Tiris di seluruh Kedah hari ini," katanya.

Katanya, kesemua kenderaan itu ditahan di Pokok Sena dan Sik dalam operasi secara bersepadu dilakukan sepasukan 26 anggota Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kedah termasuklah pegawai bersama sepasukan tujuh anggota Bahagian Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Kedah.

Menurutnya, kes berkenaan akan dibuka kertas siasatan sebelum dihantar ke pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya, selain turut mengeluarkan sembilan saman atas kes kesalahan kecil sepanjang operasi itu.

"Selain itu kita turut merampas deposit dan menutup sebuah kuari di Kuala Muda dalam operasi selama 12 jam itu turut melibatkan 10 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, 16 anggota Lembaga Sumber Air Kedah, lapan anggota Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta 94 anggota Pentadbiran Tanah Daerah seluruh negeri Kedah.

Katanya, pihaknya menyasarkan kutipan hasil royalti bahan batuan di Kedah akan meningkat sehingga RM20 juta hasil daripada tindakan-tindakan tegas dilaksanakan di negeri ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus