Isnin ini keputusan pembebasan sementara Roger Ng

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan Isnin ini untuk keputusan permohonan bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng, supaya dibebaskan dengan jaminan sementara mahkamah mendengar permohonan pendakwaan untuk mengekstradisinya ke Amerika Syarikat berhubung tiga pertuduhan jenayah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim M.M Edwin Paramjothy menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung permohonan Ng atau nama sebenarnya Ng Chong Hwa menerusi peguamnya Datuk Tan Hock Chuan supaya anak guamnya dibebaskan dengan jaminan.

Hock Chuan dalam hujahnya berkata, pihak pembelaan mempunyai masa yang terhad iaitu hanya sejam seminggu untuk berjumpa anak guamnya di penjara dan memohon mahkamah memberi peluang kepada Ng, 47, bagi mendapatkan arahan menyediakan pembelaan.

Beliau berkata anak guamnya bersedia untuk menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah, melapor diri di balai polis termasuk memasang peranti elektronik bagi memantau pergerakannya.

Hock Chuan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ng menderita penyakit Leptospirosis, disyaki menghidap denggi serta jangkitan kuman ketika berada dalam tahanan, dan pihaknya juga telah menulis surat kepada pihak penjara bagi mendapatkan rawatan untuk anak guamnya.

Peguam itu juga memberitahu mahkamah bahawa tempoh tahanan reman Ng berakhir hari ini. Pada 1 November tahun lepas, Ng ditahan polis dan kemudiannya direman 60 hari sementara menunggu permohonan ekstradisi itu didengar.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Syahril Nik Ab Rahman membantah permohonan itu dengan alasan ia tidak dikemukakan secara rasmi oleh pihak pembelaan sebaliknya permohonan itu dibuat secara lisan.

Beliau berkata sekiranya ada permohonan secara rasmi, isu berhubung mendapatkan rawatan kesihatan boleh diberikan maklum balas secara rasmi.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 Disember 2018, Mahkamah Sesyen menangguhkan pendengaran permohonan kerajaan untuk mengekstradisi Ng kerana dia tidak hadir ke mahkamah berikutan “salah faham”.

Pada 12 Disember 2018, kerajaan memfailkan permohonan mengekstradisi Ng ke Amerika Syarikat untuk berdepan tiga pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB dan permohonan itu dibuat oleh Jabatan Peguam Negara bagi pihak kerajaan Amerika yang mahu Ng dihantar balik ke Amerika Syarikat untuk berdepan pertuduhan di Mahkamah Persekutuan di daerah timur New York.

Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Disember menolak permohonan Ng untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu permohonan ekstradisi itu didengar atas alasan terdapat kemungkinan Ng akan melarikan diri dari negara ini dan kes itu membabitkan kepentingan awam serta negara di samping pertuduhan terhadap Ng melibatkan perkara serius.

Pada 19 Disember 2018, Ng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat tuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan Nota-nota Terjamin anak syarikat 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion dengan meninggalkan fakta-fakta material dan membuat penyataan tidak benar.- Bernama