Malaysia transit pengganas Timur Tengah, Afrika

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia masih menjadi negara transit bagi kumpulan pengganas dari Timur Tengah dan Afrika.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kumpulan pengganas berkenaan memilih Malaysia kerana mereka boleh masuk negara ini tanpa visa.

"Kebanyakan militan asing adalah warga Arab dan Afrika. Malaysia adalah pilihan pertama mereka memasuki negara ini tanpa visa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri International Conference on Financial Crime and Financing 2019 (IFCTF 2019) di sini hari ini.

Beliau berkata, ia bukan isu baharu malah kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara terbabit.

“Sejak 2013, kita telah menahan 38 individu yang terlibat dengan kumpulan pengganas yang menggunakan Malaysia sebagai transit. Ada yang telah didakwa manakala yang lain dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Sebelum ini, laporan Country Reports on Terrorsime 2018 menyatakan Malaysia kekal sebagai 'sumber dan titik transit' kumpulan pengganas seperti Islamic State (IS), Abu Sayyaf, al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah.

Laporan tersebut turut mengambil maklum tentang usaha Malaysia menentang terorisme melalui pelbagai cara termasuk pemantauan media sosial, kawalan sempadan dan undang-undang bagi menyekat aktiviti pembiayaan terorisme.

Mengulas mengenai pembiayaan keganasan, Ayob Khan memaklumkan, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai entiti, termasuk Bank Negara Malaysia, bank tempatan dan sektor swasta untuk menangani isu itu.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah yang terlibat biasanya kecil. Seperti yang saya katakan sebelum ini, tidak kira jumlahnya, ia masih satu kesalahan mengumpul dana untuk menyokong kumpulan pengganas dan aktivis.

“Sejumlah 22 kertas siasatan mengenai pembiayaan keganasan telah dibuka sejak 2016. Daripada jumlah itu, 19 kertas siasatan telah direkodkan, manakala tiga yang lain sedang dalam proses pendakwaan di mahkamah,” katanya.