Pendidikan bahaya rokok perlu lebih serius

Datuk Moehamad Izat Emir
A
A

PETALING JAYA - Kempen kesedaran implikasi merokok terhadap kesihatan perlu lebih diperkasakan khususnya buat generasi muda agar seiring dengan perlaksanaan larangan merokok di premis-premis makanan seluruh negara.

Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir, berkata, tempoh enam bulan ditetapkan sebelum sebarang penguatkuasaan denda kepada perokok degil disifatkan sebagai langkah yang baik namun penekanan untuk program pendidikan perlu dibuat dengan lebih serius.

Menurutnya, ia tidak hanya tertumpu terhadap program-program khas tetapi juga dilaksanakan di peringkat sekolah, fasa di mana ramai yang mula menjadi seorang perokok.

"Ramai yang bermula sebagai perokok kerana pada mereka dengan merokok akan lebih kelihatan 'cool' tetapi akhirnya mereka ketagih dan sukar untuk berhenti. Jadi kesedaran dari awal perlu dilakukan dengan lebih serius.

"Saya sendiri sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk perlaksanaan sebarang langkah bagi tujuan kesedaran kepada masyarakat. Usaha ini juga boleh dibuat menerusi kerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pengguna lain juga," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, implikasi penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan terhadap peniaga kecil juga perlu diperjelaskan memandangkan sikap perokok degil yang sukar dikawal.

Katanya, denda yang perlu ditanggung peniaga kecil akan menjadi beban sedangkan kesalahan kepada perokok yang ingkar kepada undang-undang.

"Satu notis larangan sahaja mungkin tidak cukup. Kerajaan perlu sediakan notis yang jelas tentang undang-undang yang telah diperuntukan berkaitan larangan tersebut," katanya.

Ujarnya, cadangan kaji semula denda terhadap peniaga kecil yang dinyatakan sebelum ini bukan bermakna pihaknya menolak usaha kerajaan untuk membudayakan perokok berhenti merokok.

"Kami sokong usaha kerajaan untuk kurangkan perokok tetapi yang membimbangkan adalah denda terhadap peniaga kecil.

"Mereka sukar untuk kawal jika ada pelanggan yang degil. Walaupun denda dikenakan kepada perokok, jumlah denda RM5,000 kepada pengusaha premis adalah jumlah yang besar," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia