X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga didakwa empat pertuduhan SKMM

Tertuduh menutup muka ketika keluar dari Mahkamah Shah Alam selepas selesai pertuduhan dibaca hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Tertuduh Choo Boon Yang, 37, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Rofiah Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama dan ketiga, Boon Yang didakwa memberi perkhidmatan rangkaian iaitu perkhidmatan 'gateway' tanpa Lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP).

Sementara pertuduhan kedua dan keempat, tertuduh didakwa menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu masing-masing tujuh dan 15 peranti GSM tanpa jenama dan model.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berbeza iaitu di sebuah rumah di No 2 dan No 12, Seksyen U9 di sini antara jam 3 dan 7 petang, 25 Oktober 2018.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 126 (1) (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 126(2) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara dakwaan kedua dan keempat, peniaga itu didakwa mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16(3) Peraturan yang sama dan boleh dihukum mengikut Peraturan 37 peraturan yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhani Mohd Adzhar manakala tertuduh diwakili peguam bela, G Jaya Prem dan Mohd Shukri Ahmad Mansor.

Mahkamah menetapkan 12 Disember ini sebagai sebutan semula kes.

Semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Klang atas dua pertuduhan menggunakan peranti (kelengkapan komunikasi) tanpa perakuan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan memberikan perkhidmatan rangkaian laluan akses tanpa NSP yang sah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus