Sistem kumbahan di Johor Bahru ketinggalan zaman: Steven

Steven (tengah) ketika meninjau keadaan lubang sisa kumbahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara baru-baru ini.
Steven (tengah) ketika meninjau keadaan lubang sisa kumbahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor diminta menyatakan hala tuju berhubung proses penyerahan tugas bagi penyelenggaraan sistem kumbahan di beberapa kawasan dalam bandar raya itu yang dilihat sudah ketinggalan zaman dan tidak berfungsi.

Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon berkata, usaha itu juga bagi memastikan masalah sistem kumbahan yang berlaku dapat diatasi dengan campur tangan pihak lebih berkepakaran.

Menurutnya, sejak menjawat tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Tebrau selepas PRU14 lalu aduan mengenai sistem kumbahan yang sudah tidak berfungsi sering diterima.

“Saya telah beberapa kali berhubung dengan syarikat konsesi, Indah Water Konsortium (IWK) tetapi setiap kali dibuat saya hanya diberi maklum balas supaya merujuk kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) bergantung kepada kawasan yang terjejas.

“Saya juga menerima maklumat kebanyakan sistem kumbahan di rumah pangsa di bawah pentadbiran MBJB dan MPPG yang mana beberapa daripadanya berada bawah Parlimen Tebrau juga sudah tidak berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Steven berkata, masalah sistem kumbahan tidak berfungsi itu kemudiannya berakhir dengan keadaan lebih serius apabila terdapat penduduk yang menggunakan cara menyalurkan terus sisa kumbahan ke saluran terbuka.

“Apa yang terjadi sekarang ada daripada pihak ini mengambil keputusan untuk membuat saluran terbuka terus memasuki ekosistem kita sebagai contoh seperti apa yang berlaku di Sungai Kim Kim, Sungai Tebrau dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudiannya turut dimaklumkan bahawa sistem kumbahan bagi pentadbiran dua pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit masih lagi dikendalikan secara sendiri dan tidak diserahkan kepada konsesi seperti sepatutnya.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang mengejutkan saya kemudiannya telah dimaklumkan yang MBJB dan MPPG sebenarnya masih belum menyerahkan sebarang tugas penyelenggaraan sistem kumbahan dan peruntukan penyelenggaraan kumbahan kepada IWK sejak dahulu.

“Tempoh itu adalah sejak pengenalan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang mana IWK seharusnya mengambil alih sebarang tugas berkaitan itu. MBJB dan MPPG juga merupakan dua sahaja PBT yang masih belum menyerahkan tugas selenggara sistem kumbahan kepada IWK,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya difahamkan dua PBT berkenaan sebenarnya mahu menyerahkan tugas selenggaraan sistem tersebut di masa akan datang kerana mereka sudah tidak mempunyai dana yang cukup bagi memberikan perkhidmatan terbaik.

“Ketika mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tindak Kerja di Pejabat Pegawai Daerah Johor Bahru sebelum ini saya telah ditunjukkan surat menyatakan Syarikat Johor Special Water (JSW) sepatutnya mengambil alih tugas selenggara sistem itu namun ia tidak berlaku kerana masalah yang tidak pasti.

“Susulan itu saya kemudiannya mengajukan soalan mengenai perkara ini kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan beliau ada memberi jawapan bertulis pada 4 November 2019 yang memaklumkan Kerajaan Johor tidak bersetuju memberikan tugas penyelenggaraan itu kepada IWK,” katanya.

Jelasnya, melalui jawapan menteri itu pihak kementerian ada menyerahkan surat kepada Menteri Besar Johor pada 21 Ogos 2019 untuk meminta Kerajaan Johor segerakan proses penyerahan tugas-tugas berkenaan namun sehingga kini tiada sebarang jawapan diberikan.

“Justeru saya dengan ini memohon agar Kerajaan Johor dapat segera menyelesaikan proses pengambil alihan tugas menyelenggara sistem kumbahan di kawasan MBJB dan MPPG kepada IWK atau JSW.

“Usaha ini bagi memastikan rakyat tidak lagi perlu menderita dengan keadaan yang berlaku. Tolong utamakan rakyat berbanding perkara lain,” katanya.