Kadar pembiakan aedes tinggi di pekan Bidor

A
A
A

IPOH - Kadar pembiakan aedes yang tinggi menjadi punca utama kawasan pekan Bidor mencatatkan tujuh kes demam denggi dan chikugunya.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, sejak Januari satu kes demam denggi dilaporkan dan enam kes chikungunya merupakan wabak yang telah bermula pada 15 Oktober lalu namun tiada kematian dilaporkan.

Menurutnya, hasil pemeriksaannya menemui 29 bekas positif pembiakan nyamuk aedes iaitu vektor pembawa penyakit itu di luar premis sekitar kawasan itu.

“JKN (Jabatan Kesihatan Negeri) telah menjalankan tindakan kawalan wabak termasuk aktiviti pembersihan persekitaran, larvaciding dan semburan kabus di kawasan terlibat dan wabak ini adalah terkawal.

“Dua kompaun dan satu notis pembersihan di bawah Seksyen 8(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 telah dikeluarkan terhadap pemilik premis yang dikesan membiak aedes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lay Ming berkata, selain pendidikan kesihatan, aktiviti kawalan dan pencegahan dilaksanakan secara berterusan di lokaliti pekan Bidor bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan penyakit itu.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dengan kebersihan persekitaran serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Individu diminta melindungi diri dengan memakai lengan panjang dan berseluar panjang warna cerah atau menggunakan repelen di luar rumah terutama waktu nyamuk aedes aktif menggigit iaitu jam 5 hingga 7 pagi dan petang.

Artikel Berkaitan:

“Penduduk diminta memberi kerjasama kepada pihak kesihatan yang melakukan aktiviti semburan kabus dengan buka pintu dan tingkap rumah selain mendapatkan pemeriksaan serta rawatan di klinik kesihatan sekiranya mengalami demam,” katanya.