Maqis sita susu tepung dari New Zealand

Susu tepung dari New Zealand yang dirampas oleh Maqis.
Susu tepung dari New Zealand yang dirampas oleh Maqis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk susu tepung dari New Zealand yang dianggarkan bernilai RM839,000.

Bahan yang disimpan di dalam empat buah kontena ditahan di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini selepas didapati tidak mempunyai dokumen permit import (IP).

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, kontena berkenaan sampai di pelabuhan itu pada 18 Ogos lalu dengan membawa 56,000 kilogram serbuk susu tepung.

Menurutnya, kesemua susu tepung berkenaan disita dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728].

"Kita telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM80,000 kepada syarikat pengimport serta peringatan kepada syarikat tersebut untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

"Pihak Maqis sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di pintu masuk dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Artikel Berkaitan: