X

Kindly register in order to view this article
!

JPJ diarah lihat kerangka bersesuaian atasi gejala basikal lajak

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ditemubual oleh pengamal media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Bulan November 2019 di pejabat Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - FOTO:ZAHID IZZANI
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan untuk melihat kerangka bersesuaian untuk mengawal selia dan mengatasi gejala basikal lajak dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, JPJ bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan penasihat undang-undang kementerian akan berganding bahu dalam mencapai keputusan.

"Baru minggu lalu kementerian membincangkannya kerana kita tahu fenomena ini menjadi masalah kepada orang awam, membahayakan nyawa kanak-kanak dan pengguna jalan raya," katanya.

Menurutnya, kementerian akan melihat keperluan undang-undang sedia ada atau perlu pindaan tertentu mahupun membuat undang-undang baharu.

"Setakat ini belum ada apa-apa lagi keputusan, masih perlu berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga.

"Diharap JPJ diberikan sedikit masa untuk melihat cara terbaik mengawal dan mengatasi masalah ini,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Bukit Aman agar Kementerian Pengangkutan (MOT) mewujudkan undang-undang khusus menangani basikal lajak.

Ditanya adakah kawal selia tersebut termasuk membuat pindaan Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Anthony berkata, MOT melihat penyelesaian secara menyeluruh.

"Yang ramai terbabit ialah kanak-kanak, bagaimana kita nak rampas basikal itu dan sebagainya, jadi kena lihat sama ada praktikal atau tidak," katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, ibu bapa kepada kanak-kanak atau remaja yang didapati terbabit dengan aktiviti basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya, boleh dikenakan tindakan kerana kecuaian dan pengabaian hingga mengakibatkan mereka terdedah kepada bahaya.

Mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001, mana-mana individu memelihara kanak-kanak termasuk ibu bapa yang menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkannya dengan cara mungkin menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal atau emosi boleh dikenakan tindakan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!