452 kg sampah dikutip di Pantai Balok

Peserta bersama sampah yang berjaya dikumpul mereka sempena program Beach Clean Up Day di Pantai Balok di sini baru-baru ini.
Peserta bersama sampah yang berjaya dikumpul mereka sempena program Beach Clean Up Day di Pantai Balok di sini baru-baru ini.
A
A
A
KUANTAN - Sebanyak 452 kilogram (kg) sampah dikutip oleh lebih 370 sukarelawan Malaysia di Pantai Balok di sini baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin berkata, sampah itu dikutip sempena program Beach Clean Up Day yang dianjurkan dengan kerjasama Bank Islam Malaysia.

Menurutnya, peserta terdiri daripada pelajar dari Future Leaders School, Kem Wawasan Negara Bukit Sagu,Kuantan, GiatMara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) serta kakitangan Bank Islam dan BIMB Holdings Berhad (BHB).

“Selain bertujuan membersihkan pantai, objektif program adalah untuk memupuk sifat tanggungjawab dan melatih diri peserta untuk sukakan kebersihan dan cenderung ke arah menjaga kebersihan persekitaran ialah menerusi amalan 'plogging' dan bergotong-royong.

"Apabila kita turun padang dan bekerja bersama-sama dalam satu komuniti, barulah kita dapat memahami betapa pentingnya penjagaan kebersihan persekitaran, kesan buruk dari sikap tidak peduli tentang sampah dan menghargai mereka yang menjalankan tugas kebersihan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Abd Rahim Muda, Ketua Pegawai Operasi (BHB), Mohamad Azlan Mohamad Alam dan Setiausaha Syarikat dan Pematuhan Kawal Selia Kumpulan (BHB), Maria Mat Said.

BHB memperuntukkan tajaan sebanyak RM10,000 yang berupa empat empat unit buaian serta lima set bangku dan meja santai untuk kegunaan pengunjung.