Amaran buat individu lakukan pembakaran terbuka di Johan Setia

LOY SIAN
LOY SIAN
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik tanah dan pihak yang terlibat dalam melakukan aktiviti pembakaran terbuka di kawasan Johan Setia.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan itu akan dilakukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan undang-undang lain yang berkaitan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang.

Beliau berkata, JAS, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan PTD Klang sentiasa menjalankan rondaan di sekitar Johan Setia bagi memantau aktiviti pembakaran terbuka terutama oleh petani-petani di sini.

"Selain itu, operasi bersepadu turut dijalankan bagi membanteras pendatang tanpa izin yang menjalankan aktiviti pertanian di Johan Setia yang turut melibatkan pembakaran terbuka," katanya pada Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 hari ini.

Loy Sian berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PKR-Sungai Kandis) mengenai tindakan kerajaan negeri dalam menangani isu pembakaran belukar di atas tanah yang tidak diketahui pemiliknya terutama di kawasan Revolusi Hijau Johan Setia.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut membuat langkah pencegahan pembakaran terbuka dengan melaksanakan 'water management system' melalui pembinaan 'checkdam' dan pembinaan telaga air tanah di kawasan Johan Setia bagi mengawal sebarang kejadian kebakaran.

"Berhubung tanah-tanah di kawasan Revolusi Hijau Johan Setia, secara keseluruhannya telah mempunyai pemilikan dan telah dikenalpasti oleh PTD Klang," katanya.

Artikel Berkaitan: