Lelaki bunuh kucing bunting dalam mesin dobi dijel 34 bulan

Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.
Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.
A
A
A

SELAYANG - Seorang pekerja kontrak yang videonya tular berhubung kejadian membunuh kucing bunting dalam pengering pakaian di sebuah dobi layan diri, dihukum 34 bulan penjara dan denda RM40,000.

Mahkamah Sesyen Selayang menjatuhkan hukuman dari tarikh jatuh hukum hari ini selepas tertuduh didapati bersalah kerana mendatangkan penderitaan tidak sepatutnya ke atas haiwan itu.

Hakim, Rasyihah Ghazali membuat keputusan itu terhadap K Ganesh, 42, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Rasyihah turut menegaskan, hukuman itu setimpal sebagai pengajaran supaya masyarakat tidak melakukan perbuatan zalim terhadap haiwan.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, S Muthuveeran meminta agar mahkamah menetapkan hukuman penjara disebabkan alasan tertuduh tidak mampu membayar denda kerana hanya bekerja sebagai pekerja kontrak tidak tetap dengan pendapatan RM20 untuk tugasan yang dilaksanakan.

Muthuveeran dalam hujah pembelaannya turut memberitahu anak guamnya itu juga mempunyai tanggungan seorang isteri tidak bekerja, anak yang masih kecil berusia setahun dan turut menjaga bapanya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 69 tahun.

Muthuveeran juga memohon penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu kes berkenaan yang dirujuk di Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Veterinar, Roslan Mohd Isa yang mengendalikan kes tersebut bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie menjelaskan dalam hujah balas bahawa sikap tertuduh yang melakukan perbuatan itu menunjukkan sikap tidak berperikemanusiaan.

Roslan dalam hujahnya turut menegaskan, tertuduh langsung tidak menghormati nyawa dan memberitahu kucing yang merupakan spesies domestik yang langsung tidak mengancam keselamatan tertuduh dan mempunyai hak untuk hidup.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu berserta syarat jaminan RM12,000 yang ditambah kepada RM20,000.

Permohonan rayuan itu perlu difailkan tertuduh sebelum 12 November ini.

Dalam kes berkenaan, seramai lapan saksi pendakwaan memberi keterangan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan bermula 3 April lalu.

Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup memaparkan tindakan kejam tiga individu membunuh kucing dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin pengering berkenaan.

Perbuatan lelaki tersebut kemudian tersebar di media sosial dan menerima kecaman masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan polis dan mereka ditahan pihak polis.