Bike-hailing: Proses rintis enam bulan mulai Januari 2020

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju membenarkan syarikat perniagaan pengantaraan yang berminat menyediakan perkhidmatan bike-hailing untuk melaksanakan proses rintis atau ‘Proof of Concept’ (POC) di Kuala Lumpur bagi tempoh enam bulan bermula Januari 2020.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dalam tempoh POC tersebut, pihak syarikat perniagaan pengantaraan boleh membuat persiapan dan pengujian pelaksanaan perkhidmatan bike-hailing mereka.

“Tempoh POC ini juga akan membolehkan kerajaan dan syarikat perniagaan pengantaraan mengumpul data, menilai tahap permintaan, menilai tahap penerimaan dan lain-lain keperluan operasi berhubung perkhidmatan bike-hailing ini,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengenai perkhidmatan ‘ride hailing’ motosikal, Loke berkata proses rintis bagi kawasan lain akan dipertimbang jika ada permohonan.

Antara syarat yang perlu dipatuhi syarikat pengendali dalam melaksanakan proses POC ialah pemandu mesti mempunyai lesen memandu penuh dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun.

"Hanya satu penumpang dibenarkan dibawa pada satu-satu masa dan umur penumpang hendaklah tidak kurang daripada 18 tahun," katanya.

Syarat lain ialah penggunaan tanda pakaian dan tanda di motosikal yang jelas dan mematuhi semua peraturan jalan raya sepenuhnya.

"Pada masa ini kementerian bersama agensi seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan peraturan dan tatacara serta semua persiapan di peringkat pentadbiran berkaitan pelaksanaan POC," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan bahawa Jemaah Menteri dalam mesyuarat 1 November lalu bersetuju supaya syarikat perniagaan pengantaraan yang akan menyediakan perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan barangan menggunakan motosikal (bike-hailing) dikawal selia melalui kaedah atau peraturan pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Siew Fook berkata, tujuan utama kerajaan membenarkan perkhidmatan bike-hailing ini adalah sebagai satu kaedah untuk meningkatkan tahap liputan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

“Perkhidmatan bike-hailing ini akan menjadi antara komponen penting dalam usaha kerajaan menyediakan sistem pengangkutan awam yang menyeluruh kerana ia akan menjadi satu perkhidmatan penghubung dalam fasa first and last mile connectivity (batuan pertama dan terakhir),” katanya.

Katanya, Kementerian Pengangkutan pada masa ini sedang dalam proses membangunkan rangka perundangan dan syarat-syarat perkhidmatan bike-hailing. - Bernama