X

Kindly register in order to view this article
!

'Pit-stop' kapal isi minyak kini di Lumut

Mohammad Nizar (dua dari kanan) menyempurnakan perasmian Pit-stop Bunker Hub @ Lumut di Wharf 3, Terminal Maritim Lumut, Kampung Acheh, di sini, hari ini.
A
A

LUMUT - Kapal-kapal yang melalui Selat Melaka kini boleh mengisi minyak mereka di Pit-stop Bunker Hub @ Lumut, Terminal Maritim Lumut Kampung Acheh di sini.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perkhidmatan tersebut merupakan usaha terbaharu Lumut Port dalam usaha mengembangkan lagi perkhidmatannya.

Menurutnya, pihak Lumut Port menyasarkan sebanyak lima peratus atau 5,000 hingga 6,000 kapal daripada 80,000 kapal yang melalui perairan Selat Melaka dalam tempoh setahun untuk singgah mengisi minyak di sini.

"Saya bagi contoh kalau kita boleh bekalkan 2 juta liter minyak sebulan dalam setahun akan dapat pulangan tak kurang RM60 juta berdasarkan perkiraan secara rambang.

"Maknanya peluang perkhidmatan bunkering ini cukup luas dan akan memberikan banyak peluang kepada industri hiliran yang akan dimainkan oleh syarikat tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pit-stop Bunker Hub @ Lumut di Wharf 3 Terminal Maritim Lumut Kampung Acheh di sini hari ini.

Mohammad Nizar (dua dari kanan) melihat sendiri kapal pengisi minyak ketika merasmikan Pit-stop Bunker Hub @ Lumut di Wharf 3 Terminal Maritim Lumut Kampung Acheh di sini hari ini.
Mohammad Nizar (dua dari kanan) melihat sendiri kapal pengisi minyak ketika merasmikan Pit-stop Bunker Hub @ Lumut di Wharf 3 Terminal Maritim Lumut Kampung Acheh di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Port, Mubarak Ali Gulam Rasul dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor.

Beliau berkata, kos bagi perkhidmatan bunkering (pengisian minyak kapal) yang disediakan di Pelabuhan Lumut lebih murah berbanding perkhidmatan sama di Singapura dan Hong Kong.

Dalam pada itu Mohammad Nizar berkata, Pelabuhan Lumut sedikit ketinggalan setelah berada di sini lebih 25 tahun kerana sebelum ini mereka belum ada keupayaan untuk melaksanakan bunkering.

"Kita bukan hanya dalam proses mengembangkan Lumut Port ini menerusi projek pembangunan Lumut Port kedua tetapi selari dengan usaha naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah dan pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai menjelang 2020.

"Bagi pihak kerajaan negeri kita mengalu-alukan usaha dan perkhidmatan terbaharu Lumut Port ini yang akan membantu menambah pendapatan negeri," katanya.

Sementara itu, Mubarak Ali berkata, perkhidmatan bunkering di Pelabuhan Lumut telah bermula pada 18 Oktober lalu dan sehingga kini tiga kapal yang melalui perairan Selat Melaka telahpun singgah untuk menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, perkhidmatan bunkering di kawasan 'pit-stop' berkenaan bagi kapal-kapal yang merentasi Selat Melaka akan menjimatkan masa dan kos syarikat perkapalan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!