Lesen kilang sisa plastik: Selangor letak syarat kepada PBT

SZE HAN
SZE HAN
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meletakkan syarat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membuat pertimbangan bagi kelulusan sebarang permohonan lesen melibatkan kilang sisa plastik di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan negeri mengawal aktiviti kilang plastik haram yang dapat memberi kesan kepada alam sekitar.

Beliau berkata, antara syarat yang perlu dipertimbangkan PBT adalah pemohon seharusnya mempunyai kelulusan permit import (AP) sisa plastik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Jabatan Alam Sekitar (JAS) sahaja.

"Kerajaan Selangor melalui PBT dan agensi berkuasa berkaitan sememangnya sentiasa menjalankan operasi bersepadu bagi menutup kilang plastik haram yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

"PBT juga berusaha untuk memantau aktiviti ini di kawasan masing-masing bagi menggelakkan ia merebak ke lokasi baharu," katanya pada Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ronnie Liu Tian Khiw (DAP-Sungai Pelek) berhubung polisi kerajaan negeri berikutan penolakan rakyat terhadap operasi kilang sisa plastik import haram.

Sze Han berkata, PBT juga tidak terlibat dalam proses pengeluaran AP sisa plastik berikutan ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

"PBT hanya memproses syarat teknikal melibatkan Kebenaran Merancang, Kelulusan Pelan Bangunan dan mendapatkan cadangan teknikal daripada JAS terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan kelulusan lesen perniagaan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: