PKR Terengganu minta segera selesaikan kemelut

Azan Ismail
Azan Ismail
A
A
A

KUALA TERENGGANU - PKR Terengganu mengharapkan isu yang melanda kepimpinan wanita parti itu di negeri ini dapat diselesaikan segera melalui proses yang betul.

Pengerusinya, Azan Ismail berkata, kemelut yang berlaku ekoran pelantikan Sharifah Norhayati Syed Omar sebagai Ketua Wanita PKR Terengganu, mungkin disebabkan terlepas pandang ketika dalam memudahkan proses pelantikan.

"Sebab itu saya percaya, ketua-ketua wanita cabang yang tampil pada hari ini untuk menyatakan kedudukan itu dan berharap perkara ini segera diperbaiki dan diselesaikan.

"Dalam kes ini, dalam peraturan tetap wanita yang digariskan dan diterima pakai parti di peringkat ibu pejabat adalah sebagai panduan dalam merangka sama ada pelantikan atau pengesahan apa-apa jawatan," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan ketua-ketua wanita cabang yang sebulat suara menolak pelantikan Sharifah Norhayati kerana disifatkan tidak mengikut peraturan parti.

Pelantikan itu diumumkan Ketua Wanita PKR Pusat, Haniza Talha sebelum ini, tanpa mendapatkan pandangan ketua-ketua wanita cabang yang menang dalam pemilihan yang lalu.

Jelas Azan, dalam kes ini, ketua-ketua wanita cabang di Terengganu yang menang dan terpilih mempunyai asas yang jelas, iaitu meminta pelantikan ketua wanita dibuat selepas mengambil kira perundingan dengan mereka, serta selepas majlis konsultasi dengan Majlis Pimpinan Negeri.

"Ini antara dua syarat yang ditetapkan perlembagaan wanita dan perkara ini juga telah ditekankan dengan jelas oleh presiden parti dalam mesyuarat pimpinan parti tertinggi minggu lalu. Saya faham desakan mereka ini berasaskan kepada kedudukan peraturan tadi, bukannya kerana mereka tidak suka kepada personaliti dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga berasa panduan ini sangat mustahak kerana kita melalui fasa baharu selepas pemilihan 2018 yang lalu, kita mesti berusaha membawa penyatuan ahli-ahli supaya perbalahan itu segera ditamatkan dan inilah salah satu cara untuk membawa kepada penyatuan semula.

"Panggil semula semua orang dan mengikut peraturan dan perlembagaan yang sedia ada. Kita boleh segera membaiki perkara ini dan saya harap semua orang akan menumpukan kepada agenda memperkukuhkan parti," katanya.