Kelantan kekal bermain di Liga Premier

Husin Deraman
Husin Deraman
A
A
A

KOTA BHARU - The Red Warriors (TRW) sah beraksi pada saingan Liga Premier musim depan selepas memperoleh lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Husin Deraman berkata, pihaknya boleh menarik nafas lega berkaitan isu pelesenan kelab yang sebelum ini menjadi kegelisahan kepada pihak pengurusan persatuan itu.

"Dalam isu lesen, kami berterima kasih kepada FAM dan MFL berikutan telah memperhalusi komitmen kami bagi menyelesaikan isu lesen kelab.

"FAM dan MFL telah membuat satu pertimbangan yang profesional dalam hal itu dan memahami situasi yang dihadapi Kafa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, pasukan TRW berdepan pergantungan lesen kelab berikutan Kafa perlu menyelesaikan brberapa masalah antaranya tunggakan gaji pemain dan tunggakan hutang dengan agensi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Husin berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada pemain yang mempunyai tunggakan gaji berikutan telah bertolak ansur dalam rundingan dilakukan bersama.

"Pengajaran yang baik adalah jangan pandang remeh terhadap undang-undang FAM dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya mahu bermain bola sepak secara profesional.

"Jawatankuasa dan pengurusan pasukan akan mula bertindak segera untuk membuat gerakan bagi melaksanakan perancangan yang telah dibuat sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan media FAM semalam, First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM pada 4 November 2019 telah bermesyuarat dan membuat semua keputusan berkaitan pelesenan yang tertangguh dan permohonan lesen yang diberikan lanjutan bagi memenuhi kriteria pelesenan kelab untuk penyertaan liga kebangsaan 2020.

Bagi Liga Premier, keputusan lesen bagi Kelantan FA, Sarawak FA dan UKM FC telah dibuat selepas tarikh akhir lanjutan pada 30 Oktober 2019.

UKM FC telah diberikan lesen kebangsaan, Kelantan FA dan Sarawak FA pula diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat disebabkan beberapa jaminan yang diperlukan daripada pihak ketiga. - Bernama