Merak Jalanan, perusuh Hong Kong dan gas pemedih mata

A
A

“Malam ini, tren MTR hanya beroperasi setakat jam 9 malam. Dijangka akan berlaku rusuhan di sekitar Hong Kong. Sila jauhi kawasan tersebut.”

Itu antara pesanan penganjur sebuah program persidangan yang diikuti Merak Jalanan di Hong Kong baru-baru ini. Namun, perspektif wartawan terhadap bencana atau tragedi memang berbeza. Wartawan perlu ke lokasi untuk mencari kebenaran berita.

Pada Khamis lalu, oleh kerana rata-rata warga Hong Kong meraikan parti Halloween, sekitar jam 7 malam kawasan sekitar Jalan Lan Kwai Fong sudah mula menjadi tumpuan ramai. Melewati jam 8 malam, ratusan anggota polis sudah kelihatan mengawal laluan di kawasan pusat-pusat hiburan tersebut.

Jumlah peserta rusuhan sudah mencecah ribuan orang. Rata-rata peserta rusuhan mengenakan topeng. Topeng paling popular Vendetta turut diedarkan secara percuma. Merak Jalanan memilih berada di celah-celah kumpulan media yang rata-rata mengenakan jaket 'Press'.

Menuju jam 10 malam, suasana di Jalan Lan Kwai Fong makin tegang. Keengganan perusuh bersurai menyebabkan ratusan anggota polis menolak kumpulan perusuh keluar dari lokasi perhimpunan. Kumpulan perusuh memilih untuk melawan dan membaling objek.

Bagi mengelakkan rusuhan makin parah, polis mula bertindak. Merak Jalanan masih ralit merakam video. Tiba-tiba wartawan di keliling Merak Jalanan memakai topeng gas. Alamak memang tak sempat lari. Rupa-rupanya polis sudah melepaskan gas pemedih mata.

Perusuh mula berlari menjauhi lokasi itu. Merak Jalanan pun terpaksa cabut langkah seribu kerana muka serta mata sudah pedih, tekak pula terasa perit. Dalam kelam-kabut menyelamatkan diri, peliknya pekerja pusat hiburan memanggil kami berlindung, malah diberikan kami air dan tisu untuk membasuh muka.

Tidak sampai 20 minit, ribuan peserta berkumpul lagi. Tapi kali ini, Merak Jalanan tidak dapat ikut serta. Teringat pesanan seorang rakan harga teksi bukan murah. Ya, selain ‘hadiah’ gas pemedih mata, Merak Jalanan juga terpaksa membayar RM185 untuk caj teksi yang jaraknya cuma lapan kilometer.