X

Kindly register in order to view this article
!

11 tahun tamatkan pengajian

Isteri, Zaharatunnura Mat Wahi menangis kegembiraan ketika meraikan kejayaan Luqman menggenggam ijazah pada Istiadat Konvokesyen UTM ke-63 semalam.
A
A

IPOH - Banyak kali juga saya kena 'repeat paper' tetapi saya cekalkan hati untuk habiskan juga pengajian, kata Luqman Al Hakim Mohamad, 55, graduan tertua dalam senarai penerima Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sempena Istiadat Konvokesyen ke-63 kelmarin.

Luqman yang merupakan Penolong Jurutera di Jabatan Kerja Awam, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil masa 11 tahun untuk menamatkan pengajiannya dalam jurusan Kejuruteraan Awam di Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTMSPACE).

Menurutnya, biarpun mengambil masa yang lama, tempoh panjang itu dianggap berbaloi dengan pengorbanan dalam kesibukan seorang penjawat awam.

“Saya mula belajar di UTMSPACE sejak 2008, daripada anak bongsu saya berusia lima tahun sampailah dia kini berusia 16 tahun barulah saya dapat habiskan pengajian.

"Sudah tentulah kekangan masa menjadi halangan utama untuk saya menghabiskan pengajian dalam tempoh sepatutnya hinggakan beberapa kali saya perlu menduduki semula peperiksaan.

"Begitupun saya tetap berpuas hati dengan pencapaian ini yang membuktikan tiada apa yang boleh menghalang impian termasuklah faktor usia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Luqman bersama isteri dan empat anak yang sentiasa menyokongnya menyambung pengajian hingga peringkat ijazah.
Luqman bersama isteri dan empat anak yang sentiasa menyokongnya menyambung pengajian hingga peringkat ijazah.

Beliau berkata, pada mulanya beliau tiada hasrat mahu menyambung pengajian selepas memperolehi diploma dalam jurusan sama pada 1997 lalu.

Bagaimanapun, atas galakan dan sokongan ahli keluarga terutama ibunya, Asiah Maasom, 78, dan isteri, Zaharatunnura Mat Wahi, 55, yang mahu melihatnya menggenggam segulung ijazah menyebabkannya bertekad menyambung pengajian meskipun selepas tempoh 11 tahun.

Katanya, sepanjang pengajian menuntut beliau berulang alik ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk menghadiri kelas.

"Penat itu sudah pasti tetapi saya sering jadikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai contoh, dalam usia 94 tahun pun beliau masih mampu ke sana sini mentadbir negara takkan lah cabaran sebegini saya mudah berputus asa," katanya.

Selain Tun Mahathir, bapa kepada empat cahaya mata ini juga mengagumi semangat juang dipamerkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang merangkul gelaran ke-12 Terbuka Malaysia pada usia 36 tahun iaitu rekod yang sangat mustahil untuk dipecahkan oleh mana-mana pemain dunia lain termasuk pemain negara.

Begitu juga pemain tenis terkemuka dunia, Roger Federer yang kembali ke Swiss Indoor Open, dua minggu lalu untuk menjulang kejuaraan terbuka buat kali ke-10 di kampung kelahirannya, Basel meskipun sudah berusia 38 tahun.