Kebebasan media belum capai tahap demokrasi liberal

Chamil (duduk, tengah) dan Alexander (duduk; tiga dari kanan) bergambar bersama wakil media pada program Talk On The Role Of Press In Liberal Democracy di pejabat MPI, Cyberjaya, semalam. - Foto: Asril Aswandi Shukor
Chamil (duduk, tengah) dan Alexander (duduk; tiga dari kanan) bergambar bersama wakil media pada program Talk On The Role Of Press In Liberal Democracy di pejabat MPI, Cyberjaya, semalam. - Foto: Asril Aswandi Shukor
A
A
A

CYBERJAYA - Kebebasan media di Malaysia disifatkan masih belum mencapai tahap demokrasi liberal sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, dalam erti kata lain kebebasan media yang mutlak atau hampir mutlak itu masih belum wujud lagi di Malaysia.

Menurutnya, negara masih dalam proses untuk mentakrifkan peranan media berhubung politik dan kerajaan.

"Bagi saya, kita masih di peringkat permulaan dan perjalanan masih jauh tetapi yang penting kerajaan kini telah membuat komitmen untuk mewujudkan kebebasan media yang lebih baik daripada kerajaan sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian selepas program Talk On The Role Of Press In Liberal Democracy di pejabat MPI di sini semalam.

Hadir sama, Senior Fellow Carnegie Council for Ethics in Internatioal Affairs New York, Amerika Syarikat, Prof Dr Alexander Gorlach sebagai penceramah dan wakil daripada agensi media tempatan.

Chamil berkata, komitmen kerajaan itu amat penting tetapi ia tidak akan bermakna jika kelompok atau komuniti wartawan negara tidak menggunakan kesempatan tersebut dengan sebaiknya.

"Wartawan kena ambil peluang ini untuk menjadikan diri mereka benar-benar sebagai pengkritik kepada kerajaan.

"Kerajaan sudah kata mereka rela dikritik, jadi wartawan kena sahut cabaran ini tanpa takut dan gentar. Jika tidak bersedia, maka secara tidak langsung mereka akan gagal dalam fungsi sebagai wartawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga pensyarah sambilan pengajian Master Keusahawanan Media di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, bagaimanapun kritikan dilontarkan haruslah bersifat membina dan bukan menghancurkan.

Menurutnya, komitmen atau janji kerajaan berkaitan kebebasan media itu bagus untuk masa depan kewartawanan di Malaysia dan sedikit sebanyak memberi cahaya ketika industri media berdepan pelbagai masalah termasuk penutupan syarikat media.

Sementara itu, Chamil berkata, perkongsian ilmu menerusi program tersebut sangat bagus kerana dapat mendengar pandangan dan pengalaman bagaimana kebebasan media berfungsi di negara yang mengamalkan sistem demokrasi liberal.