'Kami kecewa bantuan saguhati tiga kali tertangguh'

Jeti Pangkalan Tanjung Piai. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Jeti Pangkalan Tanjung Piai. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Lebih 800 nelayan Parlimen Tanjung Piai kecewa dengan penangguhan bantuan saguhati RM1,000 dijanjikan kerajaan negeri sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2016.

Nelayan Kampung Tanjung Piai, Zamdilaila Md Amin, 48, berkata, bantuan yang sepatutnya diterima sebelum Aidilfitri lalu sudah tertangguh beberapa kali termasuklah nelayan-nelayan di Gelang Patah dan Johor Bahru.

Menurut Zamdilaila, bantuan saguhati ini begitu penting bagi nelayan di kawasan ini kerana dapat membantu meringankan beban sara hidup nelayan di tiga kawasan Parlimen yang terkena tempias pembangunan di kawasan laut.

Zamdilaila meluahkan rasa kecewa berikutan bantuan sara hidup sudah tertangguh sejak tiga bulan lalu. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Zamdilaila meluahkan rasa kecewa berikutan bantuan sara hidup sudah tertangguh sejak tiga bulan lalu. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

"Sewaktu pentadbiran kerajaan terdahulu setiap tahun nelayan menerima bantuan saguhati sebelum perayaan Aidilfitri dan bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung kami.

"Namun ketika ini semua nelayan masih ternanti-nanti bantuan saguhati yang dijadualkan disalurkan sebelum perayaan Aidilfitri dan kecewa kerana sehingga kini sudah tiga kali tertangguh," katanya kepada Sinar Harian di jeti pangkalan Kampung Tanjung Piai di sini.

Seorang lagi nelayan Baharudin Mohd Said, 66, berkata, nelayan di sini melalui Persatuan Nelayan Johor Selatan pernah merujuk perkara itu kepada bahagian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

8
8

Menurutnya, jabatan itu difahamkan sudah mengesahkan peruntukan bantuan saguhati nelayan itu sudah disediakan dan hanya menunggu tandatangan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Shahrudin Jamal.

"UPEN kata peruntukan bantuan saguhati itu akan disalurkan pada 28 Oktober lalu setelah tertangguh sebelum perayaan Aidilfitri.

"Tetapi bantuan terus tertangguh kali kedua. Bila kita jumpa UPEN sekali lagi mereka kata tunggu tandatangan MB Johor tetapi bila jumpa Exco Pertanian dia kata tiada surat daripada MB.

"Kami benar-benar berasa sedih kerana seolah-olah ditendang-tendang bak bola. Saya berharap Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini menjadi peluang terakhir kepada Kerajaan Johor untuk menunaikan janji mereka kepada nelayan," katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada Bersatu akibat serangan jantung pada 21 September lalu.

PRK Tanjung Piai dijadual berlangsung 16 November ini.