'Saya kerja untuk isi masa lapang'

Muhd Irwan bekerja sebagai penghantar makanan untuk mengisi masa lapang.
Muhd Irwan bekerja sebagai penghantar makanan untuk mengisi masa lapang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gambar yang memaparkan seorang pelajar tingkatan empat bekerja sebagai penghantar makanan di sekitar Kuala Lumpur menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Perkongsian yang dimuat naik oleh @ariffazharb di Twitternya yang kini tular di media sosial itu turut menerima kecaman termasuk ada yang menyalahkan ibu bapa pelajar terbabit kerana membenarkannya bekerja.

"Dah kenapa dia kerja, pelajar sekolah lagi itu. Jangan-jangan mak ayah tak cukup duit?" demikian komen netizen yang diterima pelajar berkenaan di media sosial.

Bagaimanapun remaja terbabit, Muhd Irwan Shah Sabarudin, 16, pantas menepis komen negatif yang menyalahkan ibu bapanya.

Menurutnya, dia yang memilih untuk melakukan kerja itu tanpa desakan daripada sesiapa.

Abangnya, Ikhwan (kiri) turut bekerja sebagai penghantar makanan.
Abangnya, Ikhwan (kiri) turut bekerja sebagai penghantar makanan.

"Mula-mula dulu ibu bapa saya tak bagi saya kerja hantar makanan sebab kerja ini bahaya, namun saya berjaya pujuk mereka.

"Jangan salahkan ibu bapa saya. Mana ada ibu bapa nak benarkan anaknya bekerja terutama yang masih bersekolah namun ini pilihan saya sebagai kerja sampingan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak kisah apa orang nak cakap, namun mereka kena ingat tak semua yang bekerja di usia muda itu susah. Ramai sahaja orang kaya yang bekerja. Ingatlah dalam satu perkara yang kita lakukan mesti ada sebabnya. Janganlah terlalu cepat menghukum," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras itu mengakui dia melakukan kerja tersebut untuk mengisi masa lapang di samping ingin berkongsi rezeki yang diperoleh bersama keluarganya.

Muhd Irwan merupakan pelajar SMK Cheras.
Muhd Irwan merupakan pelajar SMK Cheras.



Antara komen netizen yang memberi respons positif kepada Muhd Irwan.
Antara komen netizen yang memberi respons positif kepada Muhd Irwan.

Menurutnya, kerja itu juga tidak pernah menghalangnya untuk fokus dalam pelajaran dan berjanji akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran.

"Kalau nak cakap saya tak cukup duit belanja untuk pergi sekolah, mana ada. Selama ini saya pergi ke sekolah bawa duit macam biasa. Cuma biasalah, berjiwa muda ini selalu teringinkan barang yang mahal. Jadi saya ambil pendekatan buat kerja sampingan.

"Tujuan utama saya hanya untuk isi masa lapang dan kalau dapat duit lebih bolehlah saya bagi pada ibu dan ayah, dapat belanja mereka makan. Walaupun tak banyak namun saya bersyukur dapat berkongsi dengan keluarga saya," katanya.

Hantaran yang dimuat naik sebelum ini kini meraih 27,800 ulang kicau,30,300 tanda suka dan walaupun ada netizen yang mengecam, ramai juga memberi respons positif mendoakan yang terbaik buat Muhd Irwan.

"Suka baca benda begini di twitter, sebab kalau kita rasa kita berusaha, ada lagi yang mungkin lagi berusaha dari kita. Semoga berjaya adik Belajar rajin-rajin. Semoga kejayaan milik awak. Kakak doakan adik berjaya dunia akhirat, banggakan mak ayah, Insya-ALLAH," tulis @AdyaYasmin di Twitter.