Memulakan saman fitnah

A
A
A

SERING kali saya ditemui oleh orang awam untuk bertanyakan mengenai niat mereka untuk menyaman fitnah individu tertentu. Ada dalam kalangan individu tertentu tersebut merupakan rakan-rakan dan kenalan mereka, saudara, malah ada juga individu yang tidak langsung mereka kenal.

Ada dua persoalan utama yang sering ditanya kepada saya, “Bolehkah saya mengambil tindakan saman fitnah terhadap si polan ini kerana dia sudah memfitnah saya di Facebook?”

Dan ada juga yang bertanya, “Saya telah dimalukan oleh si polan ini di Facebook dan status si polan ini juga telah dikongsikan oleh ramai orang lain. Bolehkah saya saman malu?”

Dua persoalan ini dilihat seperti lebih kurang, tapi sebenarnya tidak sama. Bagi persoalan pertama di atas, orang bertanya kelihatan yakin bahawa beliau telah difitnah manakala bagi persoalan kedua, orang yang bertanya seakan menyatakan bahawa beliau telah dimalukan dengan satu kenyataan tertentu (yang belum tentu berunsur fitnah).

Dalam hal ini, ‘difitnah’ dan ‘dimalukan’ adalah dua perkara yang boleh jadi sangat berbeza. Jika anda difitnah, sudah tentu anda dimalukan dengan kenyataan yang tidak benar dan berniat jahat tersebut. Tetapi, jika anda sekadar dimalukan, ia tidak bermaksud anda telah difitnah. Kenyataan individu yang memalukan anda itu mungkin benar dan tiada unsur fitnah.

Jadi, bolehkah anda mengambil tindakan saman fitnah jika anda dimalukan? Boleh jadi ya, boleh jadi juga tidak. Jika kenyataan yang memalukan anda itu mempunyai unsur fitnah, sudah tentu anda ada kes yang boleh dibawa terhadap penulis status tersebut.

Tetapi, jika kenyataan yang dikeluarkan oleh penulis itu satu kenyataan yang benar dan tidak mempunyai unsur fitnah, sudah tentu anda tidak akan dapat menyaman fitnah beliau. Namun, unsur fitnah yang terkandung dalam sesuatu kenyataan individu bukanlah satu-satunya elemen yang akan dipandang oleh mahkamah. Lebih daripada itu.

Tiga elemen

Artikel Berkaitan:

Terdapat tiga elemen utama sebelum anda boleh mengambil tindakan saman fitnah terhadap pemfitnah anda. Pertama, kenyataan yang diungkapkan mestilah mempunyai elemen atau unsur fitnah terhadap anda. Kenyataan yang semata-mata memalukan anda (tetapi tidak mempunyai unsur fitnah) tidak boleh dijadikan sebagai hujahan dan pembuktian dalam kes saman fitnah.

Kedua, kenyataan fitnah tersebut haruslah ditujukan secara jelas kepada anda atau kenyataan berunsur fitnah tersebut boleh dikenal pasti sebagai telah ditujukan kepada anda walaupun nama anda tidak disebut secara nyata dalam kenyataan berunsur fitnah tersebut.

Ketiga, kenyataan berunsur fitnah itu telah diungkapkan atau dikongsikan kepada orang ramai.

Jika cukup tiga elemen utama yang disebutkan itu, maka anda layak untuk mengambil tindakan saman fitnah terhadap sesiapa sahaja yang memfitnah anda. Tetapi pastikan anda menyimpan semua bukti berkenaan kenyataan fitnah tersebut, terutamanya (i) seluruh kenyataan berunsur fitnah yang telah dikongsikan; (ii) tarikh, masa dan tempat kenyataan fitnah itu dikongsikan; (iii) siapa yang membuat kenyataan fitnah tersebut; dan juga (iv) saksi, jika ada. Bukti perlulah lengkap agar kes saman fitnah anda boleh berjalan dengan lancar di mahkamah kelak.

Bagaimana pula dengan pampasan atau ganti rugi yang bakal diterima oleh anda jika anda menang kes saman fitnah itu? Tiada formula tetap dalam menentukan nilai pampasan atau ganti rugi yang bakal diterima oleh anda. Segala ganti rugi akan ditentukan oleh mahkamah mengikut pelbagai faktor antaranya seperti (i) reputasi si penuntut, (ii) tahap keseriusan dan impak yang datang daripada kenyataan fitnah tersebut, (iii) wujudnya sebarang niat jahat (malice), dan (iv) sama ada defendan telah membuat permohonan maaf.

Di Malaysia, rekod tuntutan saman fitnah paling tinggi yang pernah direkodkan adalah dalam kes saman fitnah oleh ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Vincent Tan yang berjaya mendapat ganti rugi bernilai RM10 juta terhadap seorang wartawan, MGG Pillai.

Jadi bagaimana pula dengan saman malu? Sebenarnya, dari segi amalan undang-undang, tidak wujud istilah ‘saman malu’. Namun, seandainya anda dimalukan dengan teruk, secara kasarnya anda masih berhak menyaman individu tertentu di bawah saman sivil dengan syarat-syarat tertentu. Isu ini akan diperbincangkan dalam kolum saya pada minggu hadapan, insya-ALLAH.

*Haeme Hashim ialah peguam di HaemeHashim