Arab Saudi hantar guru ke Malaysia hadapi pendidikan abad ke-21

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Arab Saudi akan membuat pertukaran guru Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains mereka ke negara ini untuk dilatih bagi mempersiapkan sistem pendidikan mereka menghadapi Pendidikan Abad Ke-21.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan persetujuan itu dicapai melalui pertemuan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bersama Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr Hamad Mohammed Al Shaikh.

"Guru-guru mereka dari tiga subjek berkenaan dihantar ke Malaysia bagi mendapatkan pengalaman mengajar di sini. Pertemuan berkenaan diadakan bagi membincangkan pertukaran idea dan kemampuan antara kedua-dua negara.

"Hasil daripada pertemuan itu juga kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk memberikan 300 biasiswa kepada mahasiswa dan mahasiswi Malaysia dalam bidang sains dan teknologi," menurut kenyataan itu.

Malaysia amat menghargai kesungguhan Arab Saudi dalam perbincangan berkenaan dan yakin kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan hubungan baik kedua-dua negara, tambah kenyataan itu.

Semalam Maszlee diutus secara khas oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertemu dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud bagi membincangkan isu berkaitan yang melibatkan kedua-dua negara termasuk kerjasama dalam bidang pendidikan. - Bernama

Artikel Berkaitan: