Dun Pahang lulus tolak ratifikasi ICERD

Sidang Dun Pahang sebulat suara meluluskan usul menolak ratifikasi ICERD yang dibentangkan Shahaniza.
A
A

KUANTAN - Sidang Dun Pahang sebulat suara meluluskan usul menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dapat meredakan ketegangan dan keresahan rakyat yang berterusan di negeri ini.

Usul berkenaan diluluskan sebulat suara semua 42 Adun selepas satu jam dan 45 minit dibahaskan yang dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Lima Adun yang terdiri daripada BN, Pas dan wakil PH berbahas mengenai usul berkenaan.

Wakil Pas, Shahril Azman Al-Hafiz dalam perbahasannya menyokong usul berkenaan dan menegaskan bahawa kerajaan Pusat perlu menolak sebarang usaha menandatangani perjanjian itu bagi mengelak keharmonian dikecapi negara ketika ini terjejas.

Menurutnya, untuk melaksanakan ICERD, kerajaan PH perlu membuat kajian yang lebih mendalam seperti mengambil kira pandangan daripada pakar-pakar perlembangan.

"Perlembagaan kita lebih awal wujud berbanding ICERD dan sejak dilaksanakan, sehingga hari ini rakyat hidup secara harmoni cuma bila timbul isu ini ia membangkitkan amarah rakyat khususnya orang Melayu.

"Jangan ambil dasar yang telah diwujudkan oleh negara barat..sebaiknya kerajaan PH perlu memikirkan keadaan ekonomi yang semakin tenat berbading isu ICERD yang boleh merosakan keharmonian negara.

"Kita sudah biasa hidup dengan penuh semangat toleransi dan sudah pasti ICERD tidak membawa sebarang keuntungan kepada mana-mana pihak. Hormati Perlembagaan dan jaga perasaan orang Melayu yang sentiasa bertolak-ansur dengan semua kaum lain di negara ini," katanya.

Bagi Adun Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali pula berkata, ICERD tidak menghormati kontrak sosial yang sudah dipersetujui kerajaan ketika mendapat kemerdekaan dari British pada tahun 1957.

Menurutnya, keharmonian negara selama ini telah berjaya dikecapi kerana rakyat memegang terhadap asas kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

"Kita sudah hidup bersama dengan semua kawan-kawan (kaum-kaum lain) sejak sekian lama... ada perkara yang sudah dipersetujui sejak dahulu lagi dan tidak pernah dipersoalkan selama ini

"Kenapa kita perlu meratifikasi ICERD sedangkan secara tersirat akan menggugat hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan anak-anak Sabah serta Sarawak termasuklah kaum-kaum lain di Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, Adun Triang, Leong Yu Man daripada parti DAP berkata, isu ICERD bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan meminta perkara itu diputuskan kerajaan Pusat.

Yang Dipertua Dun Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad kemudiannya menamatkan sesi perbahasan selepas Adun Beserah, Andansura Rabu menyatakan sokongan terhadap usul berkenaan, sebelum mengadakan pengundian yang menyaksikan usul berkenaan diluluskan tanpa bantahan daripada semua Adun.