X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya mampu berdiri atas batu

Anggota bomba mencampakkan tali dan pelampung ke arah mangsa yang terperangkap di atas batu dalam kejadian kepala air semalam.
A
A

TAIPING - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun berdepan detik mencemaskan apabila dia hanya mampu berdiri kaku di atas batu selepas dilanda kepala air di Burmese Pool di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berjaya diselamatkan pasukan bomba yang bertindak mencampakkan tali dan pelampung ke arah mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, pasukannya perlu bertindak pantas apabila paras air mula meningkat hingga hampir menenggelamkan batu yang didudukinya.

"Berdasarkan rakaman yang tular paras awal hanya separuh daripada batu itu dan apabila pasukan tiba, paras air sudah mencecah hingga ke kaki yang berisiko boleh menghanyutkan mangsa.

"Pasukan bertindak menggunakan kaedah penyelamatan water surface dengan mencampakkan tali dan pelampung ke arah mangsa yang jaraknya kira-kira lima meter dari tebing," katanya.

Menurutnya, mangsa berjaya berpaut dan selamat dibawa ke tebing sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

Kes tersebut merupakan salah satu kejadian terperangkap kepala air yang sering diterima oleh BBP Taiping di lokasi sama pada musim tengkujuh.

Rafeel Hairul berkata, pihaknya menerima empat laporan berhubung kejadian yang sama sepanjang tempoh dua bulan ini dan kejadian sama pernah meragut nyawa seorang lelaki berusia 24 tahun pada 27 Disember 2018.

"Kepala air berlaku sekiranya hujan di puncak Bukit Larut meskipun keadaan cuaca ketika itu cerah. Keadaan biasa kedalaman tidak sampai o.3 meter.

"Paras air akan meningkat sehingga kedalaman mencecah dua meter dengan kelajuan melebihi 30km sejam sekiranya berlaku kepala air. Kejadian ini boleh dielakkan sekiranya mengambil iktibar kejadian yang dilaporkan media," katanya.

Katanya, pengunjung perlu peka dengan perubahan persekitaran sekiranya terdengar bunyi guruh, awan mendung, selain banyak ranting kayu atau dedaun pokok yang dihanyutkan.

"Sekiranya ada, lebih baik beredar kerana kepala air boleh turun dalam tempoh singkat.

"Jangan cuba menyeberangi sungai dan tunggu sehingga pasukan penyelamat tiba kerana arus deras akan mengundang kecelakaan," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati lokasi tersebut menjadi tumpuan keluarga kerana airnya yang jernih dan cetek namun ia tidak mempunyai siren amaran sekiranya berlaku kepala air.