Polis sahkan terima laporan treler berlanggar dengan kereta

Kereta terbabit kemudian dirakam terbabas ke longkang tepi lebuh raya.
Kereta terbabit kemudian dirakam terbabas ke longkang tepi lebuh raya.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesahkan menerima laporan kejadian kemalangan melibatkan sebuah treler dengan kereta terbabas di Kilometer 12.4 SB Lebuhraya Elite yang videonya tular di media sosial sejak semalam.

Dalam kejadian pada jam 1.50 petang itu, penumpang sebuah kereta jenis Hyundai Sonata luka di bahagian dahi apabila kenderaan dinaiki berlanggar dengan sebuah treler sebelum terbabas ke longkang lebuh raya.

Menerusi video tular berdurasi 28 saat dirakam seorang pengguna jalan raya itu menunjukkan treler yang berada di lorong tengah secara tiba-tiba terus mengubah laluan ke lorong sebelah kiri menyebabkan ia berlanggar dengan kereta terbabit.

Tindakan pemandu treler itu menyebabkan kereta berkenaan hilang kawalan melanggar besi penghadang jalan sebelum ia bergesel dengan muatan treler.

Kenderaan terbabit kemudian terbabas dan terperosok ke longkang di bahagian kiri lebuh raya dan mengalami kerosakan serius.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua kenderaan dari arah Bukit Jelutong ke Nilai.

Menurutnya, treler terbabit mengalami kerosakan di bahagian kiri kenderaan manakala kereta di keseluruhan bahagian luar.

“Saya sahkan ada terima laporan mengenai kejadian itu namun siasatan akan dijalankan Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) Zon 3 Bkt Aman,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan: