VAR, GLT perlu dana tinggi: Steven

Steven
Steven
A
A
A

PENGGUNAAN Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Teknologi Garisan Gol (GLT) memerlukan dana yang tinggi selain penelitian laporan teknikal oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, walaupun FAM pernah mengemukakan cadangan tersebut pada 2018, penggunaan sistem berkenaan terpaksa ditangguhkan pada masa itu.

“Laporan teknikal daripada FAM dan FIFA amat penting sebelum perlawanan Liga Malaysia menggunakan teknologi tersebut.

"Memandangkan wujud isu seperti gol penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 menentang Kedah baru-baru ini, kementerian mencadangkan kepada Liga Malaysia (Liga-M) agar menggunakan mekanisme terbaik seperti teknologi VAR bagi mengelak pertikaian,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan R S N Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu bila kerajaan dijangka memperkenal teknologi terkini seperti VAR dan GLT agar setaraf dengan mutu pengadilan perlawanan bola sepak antarabangsa.

Menjawab soalan asal R S N Rayer mengenai langkah kerajaan untuk menjamin keselamatan penyokong dan pemain bola sepak negara ketika berada di Indonesia bagi memastikan insiden kekecohan yang berlaku sebelum ini tidak berulang, beliau memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan mereka walau di mana sahaja perlawanan diadakan.

Beliau berkata, sebelum kekecohan itu kerajaan dan FAM mengambil beberapa langkah termasuk mengadakan dua sesi mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan Indonesia pada 20 dan 27 Ogos lepas.

"Mesyuarat tersebut dihadiri Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Asisten Komisioner Kamarulzaman Maarof bagi membincangkan aspek keselamatan pemain dan penyokong yang perlu diberi perhatian oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada awal September lepas, segelintir penyokong Indonesia bertindak liar ke atas penyokong Malaysia pada aksi pembukaan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Keadaan itu menyebabkan PSSI dikenakan hukuman denda 45,000 Swiss franc atau RM190,000. - Bernama