Cubaan sabotaj Jokowi?

Jokowi
Jokowi
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Pihak berkuasa Indonesia kini sedang menyiasat dakwaan di media sosial tentang kotak yang diisi kertas undi untuk Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2019 pada April depan telah disimpan di Pelabuhan Tanjung Priok di Jakarta.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tjahjo Kumolo, semalam berkata, beliau telah meminta Agensi Polis Siasatan Jenayah (Bareskrim) untuk mencari dalang bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat salah itu.

"Ini adalah perkara yang serius dan boleh mengganggu proses demokrasi," katanya.

Pemeriksaan mengejut dilakukan beberapa agensi termasuk Badan Pengawas Pilihan Raya pada malam Rabu lalu gagal menemukan kotak seperti didakwa.

Maklumat salah yang tersebar di Twitter dan WhatsApp mendakwa tujuh kotak dari China telah diisi dengan kertas undi untuk Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang bertanding bersama pasangan regunya, Ma'aruf Amin.

"Ia sememangnya dakwaan palsu kerana kertas undi itu masih belum dicetak," ujarnya yang menggesa orang ramai tidak menyebarkan berita palsu sewenang-wenangnya.

Difahamkan, pesaing Jokowi turut menyokong siasatan ke atas insiden itu.

Menurut jurucakap kempen calon presiden, Prabowo Subianto dan pasangannya, Sandiaga Uno, perkara itu sengaja menimbulkan kekeliruan umum. - Straits Times

Artikel Berkaitan: