Tiada kompromi sekiranya terlibat biak Aedes

Mohamad Fariz (duduk, tengah) ketika mengadakan perbincangan memerangi Denggi habis-habisan di Manjung.
Mohamad Fariz (duduk, tengah) ketika mengadakan perbincangan memerangi Denggi habis-habisan di Manjung.
A
A
A

SERI MANJUNG - Tiada kompromi terhadap mana-mana individu mahupun syarikat yang tidak menjaga kebersihan premis mereka hingga menyebabkan pembiakkan nyamuk Aedes di daerah ini.

Ia ekoran selepas Manjung menjadi daerah tertinggi mencatatkan kes demam denggi terbanyak di Perak pada tahun lalu sebanyak 625 kes melibatkan lima kematian di Ayer Tawar, Kampung Changkat Keruing, Sitiawan, Beruas dan Lumut.

Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung bersama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) serta Pejabat Kesihatan Daerah Manjung akan bekerjasama dalam memerangi denggi habis-habisan dengan menguatkuasakan lima akta di bawah agensi dan jabatan berkenaan.

"Kami serius dalam memusnahkan Aedes di Daerah Manjung ini dan hari ini saya sudah berjumpa dengan semua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Kawasan Rukun Tetangga dan Ahli Majlis MPM untuk bersama-sama memastikan Aedes dapat dihapuskan di daerah ini.

"Mulai hari ini tiada kompromi berkaitan urusan penyakit, sebarang salah laku dan tindakan yang tidak cenderung membudaya amalam bersih dan sihat di kawasan persekitaran, masyarakat terlibat apabila terima notis tindakan akhir akan dibawa ke mahkamah.

"Oleh itu, setiap jabatan akan memainkan peranan dan berkerjasama dengan menguatkuasakan undang-undang yang ada terhadap mana-mana individu mahupun syarikat yang didapati bersalah selepas pemeriksaan dijalankan," katanya kepada pemberita pada satu sidang media khas, di Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Fariz, komitmen bersepadu melalui pejabat kesihatan dan pihak berkuasa tempatan bersama pejabat daerah dan tanah ini merupakan mesej jelas kepada masyarakat supaya serius dalam memerangi pembiakan Aedes yang seterusnya membawa kepada peningkatan demam denggi di daerah ini.

"Kita akan mulakannya hari ini dan sekiranya anda menerima apa-apa notis itu adalah salah satu tanggungjawab anda untuk memastikan persekitaran rumah serta premis perniagaan bersih dan tidak kotor.

Artikel Berkaitan:

"Kegagalan untuk mengambil tindakan susulan daripada notis yang dikeluarkan, maka tindakan pendakwaan ke mahkamah akan diambil seperti tindakan kompaun berterusan serta sebagainya," katanya.

Mohamad Fariz memaklumkan lima akta yang akan dikuatkuasakan adalah Kanun Tanah Negara, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 - Akta 154, Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 - Akta 342, Akta Kerajaan Tempatan 1976 - Akta 171 serta Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 - Akta 133.