Peniaga didakwa guna peranti tanpa perakuan SIRIM

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dua peranti (kelengkapan komunikasi) tanpa pemerakuan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Tertuduh, Choo Boon Yang, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Tertuduh juga berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memberikan perkhidmatan rangkaian laluan akses tanpa Lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) yang sah.

Mengikut pertuduhan, Boon Yang melakukan kesalahan itu pada jam 4.30 pagi, 25 Oktober tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 15(2), Peraturan-Peraturan yang sama yang memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Sementara pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

Bagaimanapun mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 5 Disember ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: